USIM komited melahirkan siswa dan bakal graduan profesional yang mampu merentasi standard antarabangsa serta global.
USIM komited melahirkan siswa dan bakal graduan profesional yang mampu merentasi standard antarabangsa serta global.
Oleh Ruhaiza Rusmin


Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkasa usahanya melahirkan generasi masa depan yang menepati keseimbangan integrasi Aqli (ilmu moden) dan Naqli (ilmu agama berpandukan al-Quran dan Sunnah).

Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Musa Ahmad berkata, tuntutan bagi mengimbang­kan antara ilmu Aqli dan Naqli antara mekanisme utama yang menjadi nadi USIM dalam melahirkan barisan pemimpin yang seimbang.

Menurutnya keseimbangan Aqli dan Naqli bukan saja mampu melonjakkan nilai ilmu yang diperoleh graduan, malah dapat membantu memperkukuh nilai sejagat.

“Ini satu komitmen USIM sebagai institusi pendidikan tinggi negara. Menjadi keutamaan kami untuk memenuhi nilai tuntutan itu bukan saja dari segi ilmu tapi juga kepelbagaian aspek lain.

“Ini penting bagi memastikan USIM mampu membentuk dan melahirkan bakal pemimpin yang seimbang menerusi integrasi Aqli dan Naqli,” katanya.

USIM antara institusi pendidikan tinggi awam negara yang memperoleh pengiktirafan setara universiti terkemuka di dunia seperti Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menurutnya, silibus yang digunakan USIM merangkumi kehendak globalisasi tanpa meminggirkan tuntutan dan nilai keislaman yang menjadi teras dalam kehidupan insan.

“Inilah keistimewaan USIM kerana kami menyediakan modul dan silibus lengkap supaya graduan dapat bersaing dengan perubahan globalisasi.

“Kami menerapkan nilai kepemimpinan bercorak Islamik yang utuh dan mampu disesuaikan dengan kehendak moden. Dengan kata lain, bakal graduan USIM mampu bersaing di pentas moden dan pada masa sama mengekalkan nilai Islam yang menjadi teras kehidupan,” katanya.

Dr Musa berkata, siswa juga diminta mengukuhkan pelbagai kemahiran bagi memenuhi keperluan masa kini.

Menurutnya, USIM tidak pernah meminggirkan kepentingan kepelbagaian kemahiran yang diperlukan siswa, malah ia antara visi institusi itu untuk melahirkan bakal pemimpin berkaliber dalam pelbagai bidang.

“Ada pihak menyangka USIM hanya melahirkan bakal graduan yang mampu bergelar guru agama semata-mata kerana USIM mengambil ramai pelajar lepasan aliran agama.

“Pandangan itu salah kerana USIM juga mementingkan modal insan berkualiti yang ada pelbagai kemahiran.

“Malah, graduan yang dilahirkan USIM diterapkan dengan budaya berkhidmat dengan ikhlas kepada Tuhan, masyarakat dan diri sendiri,” katanya.

Dr Musa berkata, USIM juga berbangga kerana kebolehpasaran graduannya kini sudah melebihi 70 peratus dan terus meningkat saban tahun.

“Bagi sebuah universiti baru, nilai kebolehpasaran yang sentiasa meningkat adalah pencapaian membanggakan, apatah lagi USIM dilihat sebagai sebuah institusi yang banyak menjurus kepada pengkhususan agama.

“USIM menawarkan banyak jurusan keagamaan, namun saya tegaskan kami sangat unik kerana pada masa sama mampu melahirkan graduan bertaraf profesional setanding institusi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 10:10 AM