PELBAGAI usaha dilakukan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan lagi taraf pendidikan negara. - Gambar hiasan.
PELBAGAI usaha dilakukan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk meningkatkan lagi taraf pendidikan negara. - Gambar hiasan.
JANGAN jadikan isu graduan sebagai penghalang institusi memburu penarafan kedudukan yang baik kerana ia adalah aspek yang memerlukan penyelesaian berbeza. - Gambar hiasan.
JANGAN jadikan isu graduan sebagai penghalang institusi memburu penarafan kedudukan yang baik kerana ia adalah aspek yang memerlukan penyelesaian berbeza. - Gambar hiasan.
PROGRAM Mobiliti dan Jaringan Antarabangsa juga salah satu landasan memperkenalkan kemampuan institusi menjalankan tanggungjawab sosial sekali gus mempromosikan nama institusi dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
PROGRAM Mobiliti dan Jaringan Antarabangsa juga salah satu landasan memperkenalkan kemampuan institusi menjalankan tanggungjawab sosial sekali gus mempromosikan nama institusi dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
SATU penghormatan bagi sebuah institusi tempatan untuk dikenali di persada dunia pendidikan antarabangsa. - Gambar hiasan.
SATU penghormatan bagi sebuah institusi tempatan untuk dikenali di persada dunia pendidikan antarabangsa. - Gambar hiasan.
BUKANLAH satu usaha mudah untuk sebuah institusi kerdil bersaing dengan institusi elit namun usaha perlu dilakukan untuk memperkenalkan kemampuan organisasi yang diterajui anak tempatan. - Gambar hiasan.
BUKANLAH satu usaha mudah untuk sebuah institusi kerdil bersaing dengan institusi elit namun usaha perlu dilakukan untuk memperkenalkan kemampuan organisasi yang diterajui anak tempatan. - Gambar hiasan.
INSTITUSI hanya menjadi pemangkin untuk memberi ilmu kepada siswa, justeru tidak adil meletakkan kesalahan pada institusi andai kata golongan itu gagal memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian. - Gambar hiasan.
INSTITUSI hanya menjadi pemangkin untuk memberi ilmu kepada siswa, justeru tidak adil meletakkan kesalahan pada institusi andai kata golongan itu gagal memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian. - Gambar hiasan.
Ruhaiza Rusmin


Kejayaan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan meraih kedudukan (ranking) terbaik di peringkat dunia masih mendapat reaksi berbeza dalam kalangan masyarakat.

Dilihat dari sudut positif, ramai beranggapan ia petanda baik untuk menonjolkan kemampuan IPT negara bersaing dengan institusi elit di seluruh dunia, sekali gus mengiktiraf kepakaran universiti diketuai anak tempatan.

Bagaimanapun, ada pihak melontarkan pendapat sebaliknya. Mereka menganggap langkah IPT tempatan berusaha mencapai penarafan tinggi sebagai pembaziran.

Golongan itu sebaliknya mahu universiti lebih fokus untuk melahirkan graduan yang lebih kompeten, mampu menepati keperluan industri global serta menjadi anggota masyarakat mempunyai nilai etika terbaik.

Di tengah-tengah kritikan pihak yang berpendapat lambakan graduan sebagai satu konflik yang masih gagal ditangani IPT, apakah penting untuk terus mengejar kedudukan penarafan?

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris berkata, penarafan diterima universiti perlu ditakrifkan dengan definisi berlainan dan tidak boleh dikaitkan dengan isu lain kerana kedua-duanya memerlukan penyelesaian berbeza.

Beliau berkata, mempertikaikan usaha universiti memperoleh penarafan lebih tinggi dan mengaitkannya dengan isu lain adalah tindakan tidak praktikal, malah sangat merugikan.

“Ini kerana bukan mudah bagi IPT berjenama tempatan di negara ini memperoleh penarafan dunia sehingga dikenali di peringkat antarabangsa.

“Bagi sebuah institusi kerdil, mendapat pengiktirafan dengan penarafan tinggi oleh agensi antarabangsa sudah tentu memberi impak cukup besar.

“Ia satu penghormatan. Mengapa usaha ini perlu dipertikaikan malah dikaitkan pula dengan isu lain?” katanya.

Menurutnya, biarpun penarafan itu dilihat hanya sebagai usaha universiti, namun pada skala besar impaknya memainkan peranan cukup penting.

“Suatu ketika dulu, seluruh dunia lebih mengenali Harvard University atau Cambridge University berbanding universiti kita.

“Tetapi sejak universiti kita berjaya mencapai ranking lebih tinggi, masyarakat dunia sudah mula kenal, malah berminat menyambung pengajian di sini.

“Sudah tentu perkembangan ini membanggakan kerana universiti kita sudah menjadi pilihan pelajar antarabangsa walaupun mungkin suatu ketika dulu mereka langsung tidak tahu kewujudan atau kemampuan kita,” katanya yang menganggap ia antara usaha memperkasakan universiti kerdil dalam kalangan institusi ternama dunia.

Berikutan itu, Dr Aini berkata, tanggapan kononnya usaha meningkatkan penarafan di peringkat dunia sebagai pembaziran perlu diperbetulkan.

“Dalam dunia pendidikan, apa sahaja usaha dilakukan bukan pembaziran tapi pelaburan. Cuma hasil daripada pelaburan itu tidak mungkin dapat dilihat atau dinikmati dalam sekelip mata.

“Sebaliknya, kejayaan itu mampu memberi dimensi baru kepada sektor pendidikan tempatan,” katanya.

Beliau mengakui sukar membina jenama setanding dengan universiti tersohor yang sudah lama ditubuhkan tapi ia boleh dilaksanakan.

Sebagai contoh, katanya, UPM bermula dengan sebuah kolej pertanian tetapi kini terus membina nama di persada pendidikan dunia.

“Selain memiliki pelbagai kepakaran, UPM terus memperbaiki kedudukan dalam penarafan antarabangsa. Hasilnya, kami berada pada kedudukan ke-17 terbaik dunia dalam QS Top 50 Under 50 pada tahun ini menerusi penarafan dikeluarkan Quacquarelli Symonds (QS) University Rankings.

“Ia tidak diperoleh dalam sekelip mata tapi UPM mengorak langkah dari semasa ke semasa untuk memperbaiki pencapaian,” katanya

Mengenai persepsi segelintir pihak yang melihat usaha itu tidak cukup untuk melahirkan graduan yang memiliki kriteria bertaraf global, beliau berkata dalam bidang pendidikan, semua aspek berkaitan sangat penting dan menjadi keutamaan.

“Usah buat tanggapan negatif terhadap institusi yang berusaha menjadi yang terbaik. Kami tidak sesekali melupakan tanggungjawab hakiki kerana semua aspek adalah penting.

“Pada masa sama, universiti tidak boleh mengetepikan keperluan lain termasuk menyalurkan kompetensi dalam cabang tertentu untuk menjadikan universiti lebih kompetitif, efektif dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, masyarakat perlu faham universiti hanya menjadi platform yang menyediakan landasan untuk siswa menimba ilmu.

“Selepas mendapat ilmu, graduan perlu menggandakannya untuk mencorakkan masa depan masing-masing.

“Tentulah tidak adil hanya meletakkan kesalahan kepada universiti sebagai punca graduan menganggur.

“Fungsi universiti menyediakan kepakaran dan ilmu. Yang lain mereka perlu usaha sendiri,” katanya.

INFO

Dari tahun 2004 hingga 2009, QS lebih dikenali sebagai THE-QS berikutan kerjasamanya dengan Times Higher Education (THE) untuk melakukan penarafan universiti. Pada 2010, QS dan THE bergerak secara berasingan bagi menghasilkan penarafan universiti menggunakan metodologi dan instrumen berbeza.

Quacquarelli Symonds (QS) ialah sebuah syarikat berpusat di Singapura yang menganjurkan Asia University Ranking (AUR) bermula 2009 iaitu selepas lima tahun pelaksanaan World University Ranking (WUR) pada 2004.

Kriteria Penarafan QS

Penarafan QS menggunakan beberapa sumber maklumat bagi menghasilkan keputusan penarafan universiti peringkat Asia dan dunia.

1. Global Survey dengan melaksanakan Academic Peer Review dan Recruiter Peer Review.

2. Sciverse Scopus bagi mendapatkan maklumat berkaitan penyelidikan.

3. QS Database iaitu maklumat diperoleh daripada universiti terbabit melalui pengisian data ke dalam pangkalan data QS.

Kedukan ranking universiti awam (UA) di Malaysia

Lima UA yang tersenarai dalam QS Top 50 Under 50 tahun ini ialah Universiti Malaya pada kedudukan ke-27, UPM (49), Universiti Sains Malaysia (51), Universiti Kebangsaan Malaysia (55) dan Universiti Teknologi Malaysia (63)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:36 AM