KELUARGA korban bot karam meratapi kematian ahli keluarga mereka. FOTO AFP
KELUARGA korban bot karam meratapi kematian ahli keluarga mereka. FOTO AFP
AFP

Damsyik: Tujuh belas lagi mayat ditemukan pada Sabtu selepas bot yang membawa pelarian dari Lubnan karam di perairan Syria, menjadikan jumlah keseluruhan korban tragedi itu kepada 94 orang, menurut televisyen kerajaan Syria.

Jumlah korban meningkat sejak mayat pertama ditemukan pada Khamis.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Filippo Grandi menyifatkan insiden kapal karam itu sebagai tragedi menyayat hati dan pencarian mereka yang masih hilang diteruskan.

Sekurang-kurangnya 14 mangsa yang terselamat dirawat di hospital di Syria, dua mangsa dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Al-Basel, sementara enam mangsa sudah dibenarkan keluar, lapor agensi berita rasmi SANA Syria.

"Jumlah kematian akibat bot yang karam di perairan Tartus meningkat kepada 94 orang," kata televisyen kerajaan.

Tentera Lubnan berkata, pihaknya sudah menahan seorang warga Lubnan yang mengaku menjalankan operasi penyeludupan manusia dari Lubnan ke Itali melalui laluan laut, baru-baru ini.

Lubnan, negara yang menampung lebih sejuta pelarian daripada perang saudara Syria, terperangkap dalam krisis kewangan yang dilabel Bank Dunia sebagai krisis yang paling teruk pada zaman moden.

Hampir tiga tahun kejatuhan ekonomi menjadikan negara itu sebagai 'laluan tikus' pelarian dengan rakyat negara itu sendiri menyertai pelarian Syria dan Palestin sanggup menggadai nyawa melalui laluan laut yang berbahaya.

Dalam kejadian pada Khamis, seramai 150 pelarian di atas bot kecil yang karam di pelabuhan Syria Tartus, kira-kira 50 kilometer di utara Tripoli di Lubnan, lokasi mereka berlayar.

Mereka yang berada di atas kapal itu rata-ratanya warga Lubnan, Syria dan Palestin, dan termasuk kanak-kanak dan warga emas, kata Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Agensi PBB, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dilaporkan berkata, 10 kanak-kanak antara yang terkorban dalam tragedi itu.

Ketua Agensi PBB untuk pelarian Palestin Philippe Lazzarini berkata, "Tiada sesiapa pun yang menaiki bot ini dengan mudah, mereka mengambil keputusan berbahaya ini, mempertaruhkan nyawa mereka untuk mencari harga diri."

Ketua Organisasi Antarabangsa untuk Pendatang (IOM) Antonio Vitorino berkata, "Mereka (pelarian) yang mencari keselamatan tidak harus dipaksa melakukan perjalanan 'penghijrahan' yang berbahaya dan sering membawa maut ini."

Kebanyakan bot yang berlepas dari Lubnan menuju ke Cyprus, sebuah pulau terletak kira-kira 175 kilometer ke barat Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 11:33 AM