DIDI & Friends ke pawagam TGV.
DIDI & Friends ke pawagam TGV.
Syanty Octavia Amry


Fenomena animasi Didi & Friends terus diberi perhatian.

Sejak ia mula tercetus pada 2014, sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

Cuti sekolah yang akan bermula Sabtu ini diperhebatkan dengan kemunculan Cerita-Cerita Didi & Friends menerusi dua platform iaitu di saluran Astro First (480) dan 13 pawagam TGV yang terpilih.

Bermula hari ini juga, penonton boleh melanggan saluran Astro First dengan harga serendah RM15.90 dan boleh menyaksikan animasi ini selama lima hari berturut-turut.

Selain itu, penonton juga boleh merasai pengalaman baru dengan menyaksikan Didi & Friends di skrin wayang yang lebih besar pada hari yang sama.

Untuk tayangan di Astro First, penonton boleh menyaksikan 20 episod penuh manakala untuk tayangan di pawagam, 12 episod akan ditayangkan selama 74 minit.

Pengasas Digital Durian, Sinan Ismail berkata, kerjasama ini diadakan selepas melihat maklum balas daripada penonton yang mahukan lebih banyak siri Didi & Friends.

“Apa yang kami hasilkan adalah atas permintaan peminat Didi & Friends yang mahukan lebih banyak lagi siri ini.

“Dengan kerjasama yang dilakukan, kami berharap penonton akan lebih berpuas hati kerana dapat menonton Didi & Friends dalam dua bentuk platform,” katanya.

Sinan berkata, selain tayangan di pawagam dan Astro First, karnival mini Didi & Friends juga akan diadakan di pusat beli-belah IOI City Mall, Putrajaya bermula 21 hingga 26 Mac ini.

“Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan buat pengunjung yang hadir di samping jualan barangan cenderahati Didi & Friends,” katanya.

Antara 13 pawagam TGV yang terbabit ialah di AU2 Setiawangsa, KLCC, Sunway Pyramid, Seremban 2, Bukit Tinggi, 1 Utama dan D’Pulze di Cyberjaya.

Selain itu, ia turut ditayangkan di TGV 1st Avenue, Pulau Pinang, Bukit Mertajam, Kinta City (Ipoh), Tebrau City (Johor Bahru), Mesra Mall (Kerteh) dan Vivacity (Kuching).

Menariknya, untuk tayangan di pawagam TGV AU2 Setiawangsa, 1 Utama, Sunway Pyramid dan KLCC, penonton berpeluang membawa pulang cenderahati Didi & Friends.

Selain itu, penonton juga berpeluang beramah mesra bersama maskot Didi yang akan membuat kemunculan mengejut ketika tayangan pada waktu tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:01 AM