AFP

Paris: Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol dan membantu yang lain ketika Paris Saint-Germain menewaskan musuh ketat Marseille 4-2 untuk menjulang gelaran Piala Perancis ke-10 semalam dalam perlawanan terakhir pemain Sweden itu bersama kelab berkenaan.

Blaise Matuidi menjaringkan gol awal PSG seawal minit kedua di Stade de France, namun Marseille menyamakan kedudukan 10 minit kemudian menerusi pemain pinjaman Newcastle Florian Thauvin.

Ibrahimovic kemudiannya memanfaatkan penalti selepas separuh masa untuk kembali mendahului sebelum membantu Edinson Cavani untuk gol ketiga pada minit ke-56.

Bintang Sweden berusia 34 tahun itu menamatkan aksinya dengan gaya luar biasa menerusi jaringan keduanya hari itu, gol ke-156 dan terakhir bersama PSG, lapan minit sebelum tamat permainan ketika skuad Laurent Blanc mengulangi tiga gelaran separti tahun lalu biarpun pasukan lawan meledak jaringan saguhati menerusi Michy Batshuayi.

“Saya amat gembira memenangi perlawan terakhir dengan pasukan menakjubkan ini,” kata Ibrahimovic.

“Kami bekerja keras selama empat tahun. Ia pengembaraan menakjubkan buat saya apatah lagi apabila anda tahu bagaimana keadaan pasukan ketika ketibaan saya dan bagaimana mereka sekarang.”
-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 8:52 AM