KERJA-KERJA pembinaan surau giat dijalankan.
KERJA-KERJA pembinaan surau giat dijalankan.
Amirol Amin Abu Bakar

Penduduk Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur, bakal mendapat surau baru lebih selesa apabila kertas cadangan menggantikan kemudahan itu diluluskan, malah 32 peratus pembinaannya sudah dilakukan di Jalan AU 1A/3E.

Pengerusi Surau Al-Ittifaq, Che Nordin Che Ibrahim berkata, cadangan penggantian surau diusulkan pada tahun 2009, namun tergendala atas beberapa sebab tidak dapat dielakkan dan tahun lalu baru cadangan itu dibincangkan secara serius.

“Selepas melalui beberapa perbincangan, akhirnya pada Disember tahun lalu kami menyerahkan tanah kepada pihak kontraktor untuk memulakan pembinaan.

“Pihak jawatankuasa membuat keputusan ini kerana mahu memberi keselesaan kepada jemaah melakukan ibadah dan aktiviti keagamaan lain seperti ceramah.

“Selain itu, kami juga tidak mahu menampung kos perbelanjaan tinggi jika kerap membaik pulih dan menambah beberapa bahagian di surau itu kerana lebih jimat jika terus menggantikannya dengan kemudahan baru,” katanya.

Che Nordin berkata, penggantian bekas dewan orang ramai itu juga disebabkan jumlah penduduk semakin meningkat selain struktur asal yang tidak menepati ciri-ciri surau kerana tidak menghadap arah kiblat dengan tepat.

“Sebelum ini, kemudahan itu hanya dapat memuatkan 200 jemaah tapi dengan pelaksanaan projek ini, ia dapat menampung sehingga 450 jemaah,” katanya.

Sementara itu, Pe­ngurus Projek Kolonel (B) Aluwi Yunos berharap orang ramai membantu dan menderma supaya pembinaan surau bernilai RM1.5 juta itu dapat berjalan lancar dan siap seperti dijangka pada Jun depan.

“Ini sekali gus bagi menyambut Ramadan dan membolehkan jemaah melakukan solat Tarawih dengan selesa.

“Setakat ini kami mengumpul derma kira-kira RM580,000 dan masih memerlukan kira-kira RM900,000 untuk meneruskan kerja pembinaan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan derma boleh menghubungi Che Nordin di talian 014-6251669 atau bendaharinya, Yunus Badawi (012-3020156) untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2016 @ 5:00 AM