ZAHIR (kanan) bersama penduduk di tapak pembinaan Masjid Kariah Bandar Mutiara. FOTO Izad Thaqif Hassan
ZAHIR (kanan) bersama penduduk di tapak pembinaan Masjid Kariah Bandar Mutiara. FOTO Izad Thaqif Hassan
Izad Thaqif Hassan

Sungai Petani: Tapak sudah ada, namun kerana masalah kewangan projek membina masjid bagi kegunaan lebih 1,000 penduduk di tiga kawasan perumahan sekitar Bandar Mutiara di sini, tidak dapat dilaksanakan sehingga kini.

Ketiadaan masjid membuatkan penduduk di Taman Bandar Mutiara, Taman SP Height dan Yara Park terpaksa menunaikan solat Jumaat di luar kariah kerana kawasan perumahan didiami hanya memiliki surau.

Penduduk kawasan itu akan memilih sama ada Masjid Batu 2 Jalan Kuala Ketil, Taman Kelisa dan di Bandar Puteri Jaya yang jaraknya agak jauh dari kediaman masing-masing untuk solat Jumaat kerana tiada pilihan lain.

Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara (JKPMKBM), Zahir Said berkata, Majlis Agama Islam Kedah (Maik) sudah meluluskan tapak untuk pembinaan masjid di atas Lot 12946 di Taman Bandar Mutiara namun kerana kekurangan dana ia terpaksa ditangguhkan.

"Kita sudah ada tapak masjid seluas 10,100 meter persegi namun sumber kewangan dimiliki tidak dapat menampung perbelanjaan untuk mendirikan masjid bernilai RM6 juta.

"Setakat ini, kami hanya berjaya mengumpul RM150,000 hasil kutipan serta sumbangan daripada penduduk setempat namun jumlah itu tidak mencukupi dan berharap orang ramai atau syarikat korporat dapat menyumbang derma untuk membina masjid berkenaan," katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, sejak kawasan perumahan itu dibuka pada 2016, hanya sebuah surau didirikan iaitu Surau Al Banna namun ia hanya boleh menampung kira-kira 200 jemaah.

"Surau ini tidak dapat menampung jemaah terutama ketika solat Aidilfitri serta Aidiladha kerana ia dihadiri ramai penduduk yang pulang menyambut perayaan bersama keluarga hingga ada yang terpaksa menunaikan solat di luar pagar.

"Jadi, saya amat berharap serta merayu sumbangan derma daripada orang ramai untuk pembinaan masjid ini supaya anak-anak kariah di tiga kawasan taman perumahan ini dapat beribadah dengan lebih selesa selepas lama menggunakan masjid di luar kariah," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan ke akaun Bank Islam 02020010083756 atas nama JKPMKBM atau menghubungi Zahir di talian 013-5908406.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 2:37 PM