Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Lenggong: Kerajaan Perak membina sebuah surau di perkampungan Orang Asli Sungai Gapes, Sahom di Kampar bagi kegunaan masyarakat Islam di perkampungan itu selepas 25 tahun dikatakan tidak memiliki kemudahan itu.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang mengakui adanya keperluan untuk membina surau di kawasan terbabit.

"Saya bersetuju, Insya-Allah kita akan sempurnakan hajat itu (pembinaan surau) bagi kegunaan masyarakat Islam dalam kalangan Orang Asli di perkampungan itu.

"(Memandangkan) sekarang ini masyarakat Islam di situ (masih) menumpang pakai rumah 'kakak' (seorang wanita) itu sebagai pusat dakwah dan solat berjemaah," katanya kepada pemberita dalam sidang media Program Khidmat Bakti Masyarakat Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latiff Abdul Kadir dan Ahli Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Saarani berkata demikian mengulas laporan Bernama yang disiarkan Harian Metro sebelum ini mengenai rumah seorang wanita dikenali sebagai Nur Halimah Abdullah yang menjadi lokasi umat Islam di perkampungan itu berkumpul untuk solat jemaah dan mendalami ajaran Islam sejak kira-kira tiga tahun lalu berikutan ketiadaan surau di kawasan itu.

Menafikan ada kemungkinan agensi yang berkenaan terlepas pandang mengenai perkara itu, Saarani menolaknya lalu berkata, pembinaan surau mahupun masjid di sesebuah kawasan adalah berdasarkan kepada keperluan semasa.

"Baru semalam saya baca dimaklumkan mengenai perkara ini selepas membaca laporan akhbar. Berdasarkan pembacaan, ada seorang wanita yang bersedia mewakafkan tanah kepunyaannya untuk pembangunan surau selain terdapat sebuah pertubuhan sukarela yang buat kutipan untuk bangunkan surau itu.

"Ia (pembinaan surau atau masjid) mengikut keperluan. Kalau 10 orang sahaja (bilangan) jemaah, maka tidak berbaloi untuk hendak bina masjid atau surau. Melainkan jika bilangan komuniti Islam di situ nampak semakin berkembang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 2:10 PM