SETYA (kiri) dan Ade.
SETYA (kiri) dan Ade.
Agensi

Nusa Dua: Parti Golkar semalam secara rasmi mengumumkan ia menyokong pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan meninggalkan kumpulan pembangkang, Pakaran Merah Putih.

Keputusan itu dibuat selepas parti tertua Indonesia itu menamakan pengerusi barunya, semalam.

“Parti Golkar akan bekerjasama dengan kerajaan. Kami akan menyokong program kerajaan,” kata pengerusi baru parti itu, Setya Novanto pada kongres luar biasa Golkar di Nusa Dua, Bali.

Kongres itu juga secara rasmi membatalkan rumusan kongresnya pada 2014 yang menyatakan ia menganggotai Pakatan Merah Putih, kumpulan pembangkang yang diketuai oleh Prabowo Subianto, pengerusi parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Dengan keputusan itu, kini hanya Gerindra sahaja yang menjadi parti pembangkang di Indonesia.

Kongres luar biasa berkenaan secara langsung menamatkan sengketa kepimpinan dalam Golkar yang berlaku sejak setahun lalu.

Setya diumumkan pengerusi baru selepas pesaingnya, Ade Komaruddin menarik diri pada undian pusingan kedua.

Ade berkata, dia bertindak demikian kerana tidak mahu Golkar berpecah lebih teruk.

Ketika berucap, Setya menegaskan, dia akan memberi tumpuan untuk menyatukan semula parti itu dalam masa 100 hari pertamanya menjadi pengerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2016 @ 12:02 PM