OPERASI mencari mayat masih dilakukan. FOTO/REUTERS
OPERASI mencari mayat masih dilakukan. FOTO/REUTERS
Agensi

NUSA DUA: Gabenor Sulawesi Tengah, Longki Djanggola melanjutkan perintah darurat di kawasan terjejas akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu untuk tempoh 14 hari lagi manakala pencarian mayat mangsa dilanjutkan sehari lagi sehingga hari ini.

Perintah darurat semasa, dijangka tamat Sabtu, kini dilanjutkan sehingga 26 Oktober.

Keputusan itu dibuat ketika pihak berkuasa masih berdepan banyak masalah di lapangan untuk menyediakan keperluan asas, membaiki kerosakan infrastruktur dan membina perumahan sementara kepada mangsa bencana.

Sebagai maklum balas terhadap permohonan pertubuhan masyarakat awam, kerajaan juga memutuskan untuk membenarkan tambahan sehari lagi mengeluarkan mayat, tamat tengah hari semalam berikutan kebimbangan kesihatan.

“Dalam satu mesyuarat 8 Oktober lalu dan dipersetujui, proses pengeluaran mayat perlu ditamatkan 11 Oktober berikutan pertimbangan perubatan, psikologi, sosial dan agama.

“Bagaimanapun ada banyak permintaan daripada anggota masyarakat awam untuk lanjutan satu hari lagi, justeru, ia dilanjutkan sehari lagi. Ia perlu tamat esok (Jumaat),” kata jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Nasional (BNPB), Sutopo Purwo Nugroho dalam satu kenyataan semalam dilaporkan Jakarta Globe.

Kawasan di mana mayat mangsa tidak boleh dikeluarkan akan ditukar kepada tugu peringatan.

Angka kematian disahkan akibat bencana dahsyat itu berjumlah 2,071 sehingga tengah hari semalam, ketika penyelamat menemui enam lagi mayat. Lebih 650 orang masih hilang dan sekurang-kurangnya 150 lagi dipercayai tertimbus dalam lumpur tebal akibat pencecairan tanah disebabkan gempa magnitud 7.5 dan tsunami pada 28 September lalu, kata pihak berkuasa.

Kerajaan menjangka menyelesaikan membina kediaman sementara dalam tempoh dua bulan. Penduduk di perkampungan Balaroa akan dipindahkan ke kawasan Dayu, sementara dari Petobo dipindahkan ke Ngata Baru.

Sutopo berkata, banyak mangsa bencana kini mengalami masalah pernafasan dan cirit-birit serta memerlukan rawatan perubatan segera.

Naib Presiden Jusuf Kalla akan mengiringi Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres untuk melawat kawasan bencana di Palu hari ini.

Beliau berada di Indonesia untuk menghadiri Mesyuarat Tahunan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia di Bali di sini, serta Persidangan Kepimpinan Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 9:57 AM