SKUAD wanita negara benam India untuk ungguli Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Taiwan.
SKUAD wanita negara benam India untuk ungguli Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Taiwan.

Kuala Lumpur: Skuad wanita negara mempamerkan aksi mengagumkan apabila muncul juara Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia di Taiwan selepas menundukkan India 2-0, semalam.

Biarpun turun tanpa kehadiran juara dunia lapan kali Datuk Nicol David, skuad yang diketuai Delia Arnold berjaya meraih gelaran kesembilan daripada 16 edisi kejohanan yang mula dipertandingkan sejak 1986.

Pemain muda negara S Sivasangari, 17, turun sebagai perseorangan pertama negara mudah membenam Sachika Ingale 11-7, 11-6, 12-10 di Universiti Kebangsaan Taiwan, Taipei.

Pemain berpengalaman negara Delia memastikan kejuaraan milik negara apabila menewaskan pemain nombor satu India, Joshna Chinappa dalam pertarungan empat set 9-11, 13-11, 11-8, 11-9.

Skuad negara turut dibarisi oleh adik Delia, Rachel Arnold dan Teh Min Jie.

Bagi jurulatih negara Ong Beng Hee kejayaan skuad negara mempertahankan kejuaraan itu sesuatu yang membanggakan terutama ketika beliau memutuskan untuk merehatkan Min Jee dan menurunkan Sivasangari.

“Sivasangari mempamerkan aksi yang cukup bagus. Dia baru berusia 17 tahun dan sudah berjaya melakukan tugas dengan baik.

“Saya memilih untuk tidak menurunkan Min Jee kerana berasakan Sivasangari berada dalam keadaan yang lebih baik dan biarpun ia satu langkah berisiko namun keputusan saya tepat,” katanya.

Sementara itu, skuad lelaki negara menamatkan saingan di kedudukan kelima selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dengan Pakistan meraih kejuaraan keempat berturut-turut selepas menundukkan Hong Kong 2-0 pada perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2016 @ 9:03 AM