SIVASANGARI (kanan) membalas pukulan Kah Yan ketika beraksi dalam kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Negara Bukit Jalil. NSTP/SUPIAN AHMAD
SIVASANGARI (kanan) membalas pukulan Kah Yan ketika beraksi dalam kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Negara Bukit Jalil. NSTP/SUPIAN AHMAD
Aida Adilah Mat


BIARPUN terpaksa melupakan sambutan perayaan Deepavali, S Sivasangari turun dengan penuh keyakinan untuk melakar kemenangan pusingan pertama di Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia hari ini.

Kejohanan yang berlangsung di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Sivasangari mencatatkan kemenangan mudah mengatasi rakan senegara Ooi Kah Yan 11-4, 11-7, 11-6.

Bagi Sivasangari ia bukanlah perkara baru buat dirinya yang sudah biasa mengorbankan sambutan perayaan Deepavali dan kehadiran ibu bapanya memberi semangat untuknya terus mengejar kejayaan.

“Saya sebenarnya teruja dapat beraksi di Terbuka Malaysia terutama selepas dua tahun ia tidak dianjurkan,” kata Sivasangari.

“Saya tidak kisah mengorbankan perayaan Deepavali untuk beraksi di kejohanan ini kerana Deepavali disambut setiap tahun dan Terbuka Malaysia pula kembali selepas dua tahun tidak dianjurkan.”

Menanti Sivasangari di suku akhir, Aifa Azman yang menewaskan pilihan ketujuh dari India Sachika Ingale, 11-7, 11-8, 11-6. Sivasangari yang kini menduduki ranking ke-47 dunia berkata, tiada istilah kemenangan mudah terutama apabila bertemu bertemu pemain junior.

“Biarpun rekod memihak kepada saya, perlawanan menentang pemain junior selalunya sukar. Ia memberi tekanan kepada pemain senior seperti saya. Apapun pertandingan baru bermula dan masa untuk saya bangkit mempamerkan perlawanan lebih baik di pusingan seterusnya,” katanya.

Sementara itu seorang lagi wakil negara yang juga pilihan kedua kejohanan, Rachel Arnold turut mara ke suku akhir selepas menewaskan Aika Azman 11-4, 11-6, 11-7.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 8:52 PM