NAFIIZWAN dan Delia  memperaga trofi kejuaraan.
NAFIIZWAN dan Delia memperaga trofi kejuaraan.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Delia Arnold dan Nafiizwan Adnan membuktikan mereka pemain terbaik negara apabila berjaya mempertahankan gelaran juara kebangsaan buat kali kedua berturut-turut.

Kejohanan Skuasy Kebangsaan di Bukit Jalil semalam menyaksikan Delia yang menghuni ranking ke-15 dunia menewaskan Low Wee Wern 11-9, 11-2, 11-9 dalam tempoh 54 minit.

Manakala Nafiizwan terpaksa bermandi peluh untuk menundukkan Ivan Yuen dalam pertarungan empat set belum perlawanan berkesudahan 11-8, 8-11, 12-10, 11-8.

Bagi Delia, dia memang menjangkakan tentangan sengit Wee Wern pada perlawanan akhir itu yang menjanjikan aksi berbeza berbanding tahun lalu selepas Wee Wern kembali pulih daripada kecederaan.

“Wee Wern pasti akan memberi tentangan sengit. Jika tahun lalu dia masih bergelut dengan kecederaan lutut yang belum pulih sepenuhnya, tapi kali ini dia bermain lebih baik.

“Biarpun saya menang tapi saya gembira dapat menyaksikan Wee Wern beraksi pada tahap sebenar dan berharap ini satu permulaan yang baik buat saya sebelum ke Perancis menyertai kejohanan berpasukan dunia,” katanya.

Sementara itu bagi Nafiizwan dia gembira dapat melihat kebangkitan pemain negara yang mempamerkan aksi mengagumkan hingga dia terpaksa bergelut sebelum mempertahankan gelaran.

“Saya terpaksa keluar dari zon selesa dan berusaha keras sebelum menang. Memang gembira dapat mempertahankan kejuaraan dan dalam pada masa sama melihat peningkatan prestasi pemain muda.

“Bagaimanapun saya tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada sekarang kerana saya masih lagi dalam proses pembelajaran dan perlu menjadi lebih kreatif selepas ini terutama di bahagian depan dan tengah gelanggang,” katanya yang akan menyertai Grand Prix British di Manchester bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 8:09 AM