Antara penagih yang ditahan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Antara penagih yang ditahan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seramai 88 penagih ditahan dalam Ops Cegah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar daerah ini bermula malam tadi sehingga tengah hari tadi.

Operasi yang bermula jam 11 malam dan berakhir jam 12 tengah hari tadi memeriksa seramai 144 orang sebelum 88 orang termasuk tiga warga asing, enam kakitangan awam dan seorang remaja wanita ditahan.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, Mokhtarudin Mohamad berkata, serbuan di jalankan di beberapa pusat hiburan, ladang kelapa sawit, rumah kediaman dan perairan Pulau Pangkor di sekitar daerah ini hasil risikan pihaknya selama dua minggu.

Katanya, semua yang ditahan berusia 18 hingga 60 tahun dan ujian air kencing dijalankan mendapati kesemua mereka positifdadah.

"Turut ditahan 15 OKP (Orang Kena Pengawasan) dan kita juga menemui lima paket dadah jenis heroin dianggarkan seberat lima gram, methaphatamine selain peralatan menghisap dadah.

"Operasi dijalankan untuk mencegah gejala penyalahgunaan dadah dari terus merebak dan membantu masyarakat setempat bagi membersihkan kawasan yang dijadikan 'port' penangihan dadah supaya masyarakat berada dalam keadaan selamat dan selesa," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Mokhtarudin berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penangih Dadah 1983 pindaan 1998 dan jika disabit kesalahan boleh dihantar ke Pusat Pemulihan atau Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) selama dua tahun dibawah pengawasan AADK.

Operasi itu turut disertai AADK negeri, pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Agama Islam Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2016 @ 3:11 PM