Kapten JDT, Mohd Amri Yahyah (kanan) bersama rakan sepasukan sebelum aksi menentang Bengaluru di Stadium Larkin. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Kapten JDT, Mohd Amri Yahyah (kanan) bersama rakan sepasukan sebelum aksi menentang Bengaluru di Stadium Larkin. FOTO NSTP/MOHD AZREN JAMALUDIN
Aziman Rosdi


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) mempamerkan perwatakan sebenar selaku juara bertahan apabila mudah membenam JSW Bengaluru FC 3-0 bagi menamatkan kempen Kumpulan H Piala AFC dengan rekod bersih kemenangan enam perlawanan.

Biarpun ia sekadar aksi pelengkap jadual buat skuad kendalian Mario Gomez itu yang sudah layak ke pusingan kedua selaku juara kumpulan namun kemenangan tetap menjadi buruan buat mereka sebagai tonik terbaik menjelang pertembungan final Piala FA dengan PKNS FC di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Seperti dijangka, Mario Gomez merehatkan ramai tonggak dan menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan demi memberi fokus kepada aksi getir final Piala FA.

Beberapa percubaan berjaya dihasilkan pasukan tuan rumah dengan pemain sayap Mohd Nazrin Nawi melakukan rembatan leret dalam kotak penalti namun sedikit tersasar di minit ke-20.

Johor DT sekali lagi memiliki peluang terbaik pada minit ke-37 namun sepakan lambung Junior Eldstal sekadar singgah di palang gol.

Penantian skuad Harimau Selatan terlerai pada minit ke-69 apabila pemain gantian Safiq Rahim hanya memerlukan 10 minit untuk menyumbat gol selepas dimasukkan menggantikan Amri Yahyah.

Penyerang kebangsaan Safee Sali yang terlepas peluang terbaik pada minit ke-53 menebus kehampaan untuk meletakkan Johor DT 2-0 pada minit ke-78.

Pemain tengah Shakir Shaari melengkapkan kemenangan pasukan juara bertahan dengan menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan.

Walaupun tewas, kelab dari India Bengaluru tetap mengiringi Johor DT ke pusingan kalah mati apabila menduduki tangga kedua kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 11:07 PM