AMIRUL meraikan jaringan penyamaan Johor DT bersama rakan sepasukan.
AMIRUL meraikan jaringan penyamaan Johor DT bersama rakan sepasukan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melengkapkan kemenangan 100 peratus sekali gus memastikan sebagai juara Kumpulan H selepas menewaskan kelab Myanmar Ayeyawady United 2-1 pada aksi Piala AFC di Yangon, semalam.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Mario Gomez yang hanya mempertaruhkan kelibat pemain tempatan menanti naib juara Kumpulan F antara Kitchee dari Hong Kong, Kaya FC (Filipina) atau Balestier Khalsa (Singapura) pada pusingan kedua di Stadium Larkin, 25 Mei ini.

Apapun skuad Harimau Selatan berbaki satu lagi perlawanan akan berdepan Bengaluru di Larkin, 11 Mei ini dan berpeluang mengekalkan rekod bersih tanpa kalah sepanjang aksi kumpulan.

Tempoh 10 minit babak pertama tampak kedua-dua pasukan bermain dengan corak permainan berhati-hati apabila sering berlegar di kawasan tengah padang tatkala Johor DT tanpa kelibat sembilan tonggak utama jelas menguasai perlawanan.

Percubaan pertama Johor DT hadir pada minit ke-11 selepas bola lambungan S Chanturu pantas disambar kapten Amri Yahyah yang bertindak melintangkan bola namun sekadar singgah di palang gol.

Namun, benteng Harimau Selatan dikejutkan dengan jaringan tuan rumah pada minit ke-26 berpunca daripada bola hantaran lintang Christopher Chizoba yang gagal dikeluarkan Fadhli Shas dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya Zaw Thiha merembat bola kencang menewaskan penjaga gol Izham Tarmizi Roslan.

Selang tiga minit kemudian, tindakan berani Amirulhadi Zainal yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti selepas menerima bola hantaran Safee Sali hampir mencipta gol penyamaan, namun bola sepakan leret dihalang penjaga gol Hruai Vanlal.

Amirul akhirnya mencetak nama selaku penjaring gol penyamaan buat Johor DT pada minit ke-31 selepas menyudahkan gerakan yang dimulakan olehnya apabila mengumpan kepada Chanthuru yang membuka ruang untuk pemain tengah Harimau Selatan itu merembat bola leret menewaskan Vanlal.

Bersambung babak kedua, peluang terbaik Johor DT menambah jaringan pada minit ke-60 terlepas begitu sahaja apabila bola sepakan lintang Amri ditanduk kemas Junior Eldstal, namun Fadhli dan Amer Saidin sekadar tergamam melihat bola melintas di depan mata.

Gol kemenangan skuad Harimau Selatan hadir empat minit sebelum tamat berpunca dari sepakan percuma Amri namun bola tandukan Fadhli terkena tiang gol dan Safee yang berada di depan gol pantas merembat kencang ketika pintu gol terbuka luas bagi memastikan tiga mata dibawa pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:45 AM