Fardy Bungga


Ampang: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun maut digilis treler selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di lebuh raya MRR II Susur Pandan Jaya, jam 1.47 pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa difahamkan menunggang motosikal sambil dibonceng rakan sekerjanya pulang dari tempat kerja mereka di sebuah pusat beli belah di Keramat menuju ke Pandan Indah.

Bagaimanapun, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai cuba mengelak sebuah kenderaan dihadapan menyebabkannya hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan sebelum digilis oleh treler yang bergerak dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan paramedik yang tiba untuk memberi bantuan.

Katanya, rakan mangsa yang juga berusia 18 tahun hanya mengalami cedera ringan dan polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori treler terbabit untuk membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 1:15 PM