ANGGOTA polis di lokasi kejadian.
ANGGOTA polis di lokasi kejadian.

Ampang: Seorang remaja perempuan terpaku sejurus melihat rakannya maut digilis treler di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) susur Pandan Jaya di sini.

Dalam kejadian jam 1.47 pagi semalam, mangsa perempuan berusia 18 tahun itu dikatakan menunggang motosikal bersama rakannya untuk pulang ke rumah di Pandan Indah di sini, selepas tamat bekerja.

Difahamkan kemalangan berlaku ketika mangsa cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapan menyebabkan dia hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan.

Sebuah treler yang bergerak dari arah sama gagal mengelak sebelum menggilis mangsa.

Pemandu treler itu bagaimanapun tidak menyedari kemalangan yang berlaku dan meneruskan perjalanan sebelum dikejar oleh sebuah kenderaan lain.

Pemandu treler berusia 33 tahun itu kemudian segera membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:04 AM