Hamzah menunjukkan pelbagai dokumen yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Hamzah menunjukkan pelbagai dokumen yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga


Ampang: Lima individu termasuk seorang wanita berusia 33 hingga 71 tahun ditahan selepas melakukan kutipan derma dengan menyamar sebagai wakil Pertubuhan Kebajikan Anggota Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kegiatan suspek terbongkar selepas mereka mengutip derma di sebuah syarikat telekomunikasi di Pandan Indah.

Katanya, pihak syarikat mengesyaki tertipu dengan kumpulan berkenaan dan membuat laporan polis untuk mendapatkan kepastian.

"Syarikat itu dilaporkan sudah memberikan derma sebanyak RM1,200 kepada individu terbabit. Namun, hasil siasatan mendapati suspek bukan dari pertubuhan itu dan tidak mendapat kebenaran.

"Serbuan dilakukan terhadap premis yang menjalankan perniagaan percetakan di Pandan Indah, membawa kepada penemuan buku resit, pelekat dan dokumen yang tertera pelbagai pertubuhan membabitkan agensi pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini.

Katanya, semua suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2017 @ 4:53 PM