GAMEIRO (tengah) ledak dua gol.
GAMEIRO (tengah) ledak dua gol.
Agensi

Madrid: Jurulatih Unai Emery insan paling gembira apabila Sevilla meneruskan rentak kejayaan Liga Europa selepas juara bertahan dua kali itu layak ke final buat tahun ketiga berturut-turut.

Sevilla menempah pertemuan menentang Liverpool selepas menang 3-1 ke atas Shakhtar Donetsk awal pagi semalam yang mengesah kemenangan dengan agregat 5-3.

Kevin Gameiro menjaringkan dua gol manakala Mariano melengkapkan kemenangan selepas Eduardo da Silva menyamakan kedudukan bagi membolehkan Sevilla semakin hampir memburu kejuaraan ketiga berturut-turut.

“Saya fikir peminat Sevilla berasa sesuatu yang istimewa terhadap kejohanan ini kerana ia memberi banyak makna kepada kami,” kata Emery.

“Ia hari yang istimewa dan mengujakan.

“Pemain menyedari mengenai kerja keras kami dan itu cara kami perlu teruskan. Bagaimanapun mereka juga sedar ini masanya untuk menikmatinya dan perlu menikmatinya.

“Kami adalah manusia, bukan batu dan apabila anda mencapai sesuatu selepas bekerja keras mendapatkannya anda perlu meraikan pencapaian itu.

“Setiap pemain menikmati apa yang dia mahukan, bersama rakan dan keluarga. Kami seronok berada di bilik persalinan seperti juga kami menikmati satu lagi final dan akan melangkah ke sana bersama peminat Sevilla,” katanya.

Sevilla akan berdepan Liverpool pada perlawanan akhir di Basel, 18 Mei ini selepas anak buah Juergen Klopp mengatasi Villareal 3-1 menerusi agregat pada separuh akhir.

“Liverpool akan memberikan kami final yang penuh tekanan. Liverpool berhasrat menjuarai kejohanan ini atas pelbagai sebab. Pertama, ia membabitkan sebuah trofi. Kedua, ia memberikan anda laluan ke Liga Juara-Juara dan ketiga, kerana mereka sebuah pasukan yang kaya dengan sejarah.

“Itulah sebabnya mengapa saya fikir ia akan menjadi final yang luar biasa, sama taraf dan kami wajar menikmatinya.

“Bagaimanapun, saya tidak percaya kami patut menganggap kami pasukan pilihan ketika menentang Liverpool,” kata jurulatih berusia 44 tahun itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:06 AM