KLOPP menghadiri sidang media di Anfield, hari ini.  AFP
KLOPP menghadiri sidang media di Anfield, hari ini. AFP
Reuters

Liverpool: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp berkata Juventus dan Bayern Munich mungkin memandang mudah ancaman Villarreal tetapi pasukannya tidak akan mengulangi kesilapan sama apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir pertama Khamis ini.

Villarreal mencipta kejutan apabila menyingkirkan gergasi Eropah, Juve dan Bayern pada peringkat kalah mati untuk mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara kali pertama dalam tempoh 16 tahun.

"Villarreal memiliki sedikit kelebihan selepas Juve dan Bayern mungkin mengambil mudah lawan mereka itu tetapi ia tidak akan berlaku kepada kami. Mereka mahu mara ke final, begitu juga kami," kata Klopp.

"Ia istimewa, perlawanan besar. Ramai jurulatih, pemain gagal sampai ke peringkat ini dan kami perlu menikmatinya."

Pengendali dari Jerman itu turut memuji pencapaian rakan sejawatan, Unai Emery dengan melabelkannya jurulatih kelas dunia yang pasukannya mampu menangani pelbagai situasi perlawanan.

"Kami menganalisa Villarreal dengan teliti. Saya hormati Unai dan pemainnya. Saya menonton aksi mereka dan wow! Menarik. Dia pengurus berkaliber," tambah Klopp.

Liverpool berpeluang merangkul empat trofi musim ini selepas menjuarai Piala Liga dan mara ke final Piala FA manakala ketinggalan hanya satu mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Manchester City dengan berbaki lima perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 10:58 PM