PEMAIN Sevilla meraikan kejayaan ke final Liga Europa.
PEMAIN Sevilla meraikan kejayaan ke final Liga Europa.

Florence, Itali: Juara bertahan Sevilla layak ke final Liga Europa kedua berturut-turut selepas kemenangan 2-0 ke atas Fiorentina awal pagi semalam membantu kejayaan agregat 5-0 buat kelab La Liga itu pada separuh akhir.

Sevilla menempah tiket ke final di Warsaw selepas menundukkan kelab Itali itu 3-0 pada separuh akhir pertama di Sepanyol minggu lalu dan akan merakam kejuaraan keempat bagi pertandingan kelas kedua kelab Eropah itu jika mengatasi Dnipro Dnipropetrovsk pada 27 Mei ini.

Kelab Ukraine itu menang 1-0 di laman sendiri ke atas musuh Fiorentina dalam Serie A, Napoli untuk layak ke final Eropah pertama dengan agregat 2-1.

Jurulatih Sevilla Unai Emery memuji pemainnya yang turut menyingkirkan Borussia Moenchengladbach, Villarreal dan Zenit St Petersburg pada peringkat kalah mati.

“Dnipro melakukannya sekalipun tiada siapa meramalkannya,” kata Emery. “Menyingkirkan Napoli satu pencapaian mengagumkan,” jelasnya.

“Ia tidak mudah, peluang kami 50-50 dan kami tidak akan hadir sebagai pasukan pilihan.”

Carlos Bacca meletakkan Sevilla di depan pada minit ke-22 sebelum Daniel Carrico menjadikan kedudukan 2-0 buat pelawat lima minit kemudian.

Di Kiev, penyerang Yevhen Seleznyov menanduk masuk gol tunggal kemenangan Dnipro pada minit ke-58 ke atas pasukan kendalian Rafael Benitez. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:11 AM