Mazizul Dani dan Siraj Mohd Zaini


Tanjong Karang: Jenazah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, Sungai Burong, di sini, jam 2 pagi tadi.

Majlis pengebumian dihadiri keluarga dan sanak saudara termasuk kira-kira 1,000 penduduk pelbagai kaum yang tidak mahu ketinggalan memberi penghormatan terakhir kepada Ahli Parlimen Sungai Besar itu.

Turut kelihatan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dan Naib Presiden Gerakan Datuk A. Kohilan Pillai.

Jenazah terdahulu tiba di Pangkalan Tentera Udara Subang pada jam 11.32 malam dan dibawa ke Masjid Ar Rahmah Batu 12, Sungai Burong untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Allahyarham meninggalkan empat anak, dua lelaki dan dua perempuan iaitu Mohd Shafiq Ishak, 29; Ain Shafinas Ishak, 24; Anis Athirah Ishak, 21, dan Adam Aidid Suhaili, 19, serta seorang anak angkat, Adam Mukhriz Abdullah berusia 3 tahun.

Allahyarham meninggal dunia selepas helikopter dinaiki terhempas ketika dalam perjalanan dari Betong ke Kuching, Sarawak kelmarin.

Helikopter itu sepatutnya mendarat di Kuching pada jam 5 petang hilang daripada radar di kawasan Triso, Sri Aman, pada 4.32 petang.

Turut berada dalam helikopter itu ialah suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Dr Sundaran Annamalai, Pengerusi MPOB yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, pengawal peribadi Ahmad Sobri Harun serta juruterbang Kapten Rudolf Rex Ragas.

Nasib mereka bagaimanapun setakat ini belum diketahui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 2:20 AM