Hafiz Ithnin (Yang mengikuti pelancaran produk Acer di New York dan Amerika Syarikat)


Kegilaan masyarakat kepada permainan video atau video game sememangnya wujud sejak bertahun-tahun lamanya dan perkembangan teknologi yang dibangunkan berkembang pantas dari tahun ke tahun.

Malah, industri video game juga dipecahkan kepada beberapa segmen bagi memperincikan kegunaannya mengikut sasaran platform memandangkan platform permainannya ketika ini semakin meluas.

Antara permainan video yang dipecahkan mengikut segmen adalah permainan video yang menggunakan desktop dan telefon pintar kerana kedua-duanya berada di bawah satu ruang lingkup industri yang sama.

Dari segi prestasi pasaran industri ini juga dilihat berkembang dan mencatatkan nilai angka yang begitu besar kepada pengeluar produknya antaranya dalam satu laporan nilai pasaran dikeluarkan oleh penganalisis pasaran permainan video antarabangsa, NewZoo.com menunjukkan setakat tahun lalu, nilai pasaran keseluruhan industri ini mencatatkan sekitar RM359 bilion.

Daripada angka yang dicatatkan itu, lebih separuh daripadanya disumbangkan oleh rantau Asia Pasifik apabila Malaysia turut berada di dalam kelompok rantau berkenaan yang merekodkan nilai pasaran RM161 bilion setakat tahun lalu.

Baru-baru ini, Harian Metro yang diundang dalam majlis pengenalan produk Acer di peringkat global, next@acer di New York, Amerika Syarikat turut menyenaraikan barisan produk permainan video keluarannya untuk dijual di pasaran tempatan tahun ini.

Dalam acara tahunan itu, Acer menampilkan dua produk utama dalam permainan video iaitu dekstop, Predator G1 dan notebook, Predator 17 X.

Manakala, terdapat dua lagi produk tambahan iaitu monitor yang berada dalam keluarga Predator Z1 dan projektor, Predator Z850. Semua produk berkenaan belum ditentukan harga dan tarikh tepat untuk dipasarkan di pasaran tempatan. Namun, ia dijangka mula menemui pengguna pada separuh pertama 2016.

Memandangkan ketika ini, Acer menduduki tangga kedua dalam segmen produk permainan video di Malaysia yang menggunakan dekstop dengan mencatatkan sekitar 10 peratus pada tahun lalu, syarikat itu memperkenalkan notebook Predator 17 X untuk memberi kemudahan kepada peminat permainan video yang gemar bergerak.

Malah, dengan berat 4.55 kilogram memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana lokasi dengan mudah tetapi prestasi yang ditawarkan hampir sama dengan desktop.

Predator 17 X yang beroperasi menggunakan sistem operasi Windows 10 turut mempunyai memori sehingga 64 GB dan ketahanan bateri sehingga tiga jam.

Memahami kepada situasi penggunaan notebook yang mudah panas apabila pengguna menggunakan peranti itu , ia turut dilengkapi tiga kipas penyejuk di bawahnya.

Selain itu, antara produk yang menjadi tumpuan pada majlis pengenalan itu dalam segmen permainan video, sudah tentu adalah segmen dekstop iaitu Predator G1.

Berbanding keluaran produk desktop Predator sebelum ini iaitu Predator G6 dan G3, G1 menampilkan kelainan dari segi paparan hiasan lampu pada desktop yang boleh ditukar mengikut cita rasa pengguna sekali gus menawarkan nilai eksklusif kepada penggunanya.

Tambahan lain, dua tempat penyangkut yang dipasang sekali pada bahagian atas kiri dan kanan Predator G1 turut memberi kemudahan kepada pengguna untuk menyangkut headphone dan topeng realiti maya (VR).

Presiden Operasi Rantau Asia Pasifik Acer Andrew Hou berkata, pengenalan rangkaian produk baru Predator dapat membantu syarikatnya mengukuhkan penguasaan pasarannya di Malaysia dan negara di rantau lain.

Beliau berkata, syarikatnya pada tahun ini akan memberi tumpuan kepada penjualan Predator dan juga tablet dua dalam satu memandangkan kedua-dua produk itu mempunyai potensi besar untuk pasaran tempatan.

“Situasi bagi pasaran membangun memerlukan produk yang lebih maju dalam pelbagai segmen produk dan kedudukan kami seperti di Indonesia bagi segmen permainan video kini di tempat yang pertama berbanding Malaysia di tempat kedua.

“Dengan menampilkan produk seperti Predator 17 X dan G1 ia boleh membantu Acer untuk meningkatkan penguasaan pasarannya di Malaysia yang bukan saja dalam segmen permainan video, malah secara keseluruhan produk pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 11:45 AM
MODEL menunjukkan spesifikasi sistem yang terdapat pada Predator 17 X.
MODEL menunjukkan spesifikasi sistem yang terdapat pada Predator 17 X.
KAKITANGAN pemasaran Acer memberi penerangan mengenai rangkaian produk Predator.
KAKITANGAN pemasaran Acer memberi penerangan mengenai rangkaian produk Predator.
PRODUK Predator antara menjadi tarikan dalam next@acer.
PRODUK Predator antara menjadi tarikan dalam next@acer.
Ketua Pegawai Eksekutif Acer, Jason Chen (kanan) memperkenalkan Predator 17 X kepada media antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif Acer, Jason Chen (kanan) memperkenalkan Predator 17 X kepada media antarabangsa.
PENGGUNA mencuba menggunakan VR yang disambungkan pada Predator 17 X.
PENGGUNA mencuba menggunakan VR yang disambungkan pada Predator 17 X.
VR menjadi trend terkini dalam permainan video komputer.
VR menjadi trend terkini dalam permainan video komputer.
PREDATOR G1 yang boleh ditukar pencahayaan lampunya memberi nilai eksklusif kepada pengguna.
PREDATOR G1 yang boleh ditukar pencahayaan lampunya memberi nilai eksklusif kepada pengguna.