Hafiz Ithnin dari New York

New York: Acer Corp (Acer) berhasrat memperkukuhkan penguasaan pasaran di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada dua segmen produk utamanya iaitu tablet dua dalam satu dan rangkaian perkakasan permainan video.

Ketika ini, syarikat berpangkalan di Taiwan itu merekodkan sekitar 21 peratus penguasaan pasaran bagi keseluruhan segmen di Malaysia dan mencatatkan pertumbuhan purata secara mendatar berikutan prestasi pasaran global yang menguncup sejak ke belakangan ini.

Presiden Operasi Rantau Asia Pasifik Acer, Andrew Hou berkata, dua poduk baru dijangka dibawa masuk ke Malaysia tahun ini dalam segmen tablet dua dalam satu ialah Switch Alpha 12. Peranti itu boleh digunakan dalam dua fungsi iaitu tablet dan laptop.

Beliau berkata, bagi segmen perkakasan permainan video, syarikat memperkenalkan desktop, Predator G1 dan laptop, Predator 17 X.

“Kami menjadi peneraju pasaran bagi segmen perkakasan permainan video dan peranti dua dalam satu di beberapa negara di rantau Asia Pasifik antaranya India, Singapura dan Thailand.

“Berbanding di Malaysia kami berada di kedudukan kedua bagi segmen berkenaan iaitu untuk peranti dua dalam satu 30 peratus dan perkakasan video 10 peratus,” katanya kepada Bisnes Metro selepas majlis pratonton barisan produk Acer 2016, next@acer, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif Acer, Jason Chen turut hadir dan memperkenalkan 10 produk yang akan dibawa masuk ke pasaran global pada tahun ini.

Di awal pembukaan next@acer, Jason memperkenalkan peranti perakam video pintar untuk aktiviti berbasikal dikenali sebagai Xplova X5.

Selain Xplova X5, Jason memperkenalkan produk lain antaranya telefon pintar, Liquid Zest Plus, tablet untuk keluarga, grandPad, laptop komersial, Cromebook 14 dan gelang pintar, Liquid Leap Fit.

“Walaupun syarikat mencatatkan prestasi jualan kurang memberangsangkan suku pertama lalu, kami melihat ada perkara boleh dilaksanakan untuk mengembalikan kecergasan pasaran antaranya pemasaran agresif sosial media dan memperkenalkan produk sesuai dengan pasaran tumpuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 5:02 AM
PERANTI perakam video pintar Xplova X5 untuk aktiviti berbasikal.
PERANTI perakam video pintar Xplova X5 untuk aktiviti berbasikal.