Nazri Abu Bakar


Melaka: Jurulatih PKNS E Elavarasan menganggap peluang pasukannya layak ke final Piala FA 50-50 walaupun menyedari skuadnya turun sebagai ‘underdog’ pada separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam ini.

Mengakui skuad tuan rumah kini memiliki prestasi luar biasa selepas mereka menjinakkan pendahulu Liga Super, FELDA United 3-2 di gelanggang sama baru-baru ini, beliau mahu anak buahnya melupakan segala kelebihan yang dimiliki The Bos Gaurus.

Elavarasan berkata, fokus, lebih berhati-hati dan waspada amat penting dalam setiap saat perlawanan bagi mengelak gawang pasukan bocor yang boleh memberi lebih tekanan buat pemain selepas kelebihan memihak kepada tuan rumah dengan keputusan 2-2 pada aksi pertama di Melaka sebelum ini.

Beliau berkata, tidak banyak perubahan dalam susunan pemain dengan hanya membawa masuk dua pemain pengganti bagi memgambil alih tugas P Gunalan di pertahanan kiri dan Khairu Azrin Khazali di barisan tengah yang digantung perlawanan.

“Selebihnya kami mengharapkan gabungan Gabriel Guerra, Matias Hadwa, Juan Cobelli di barisan tengah dan serangan mampu meledak jaringan buat pasukan.

“Manakala pemain pertahanan juga mampu melakukan jaringan terutama menerusi sepakan sudut dalam usaha memerangkap benteng pertananan lawan yang kebiasaan sukar membaca situasi berkenaan. Tugas terbabit mampu dillakukan benteng tengah, kami Gonzalo Soto,”katanya.

Apapun, fokus kepada pertemuan berkenaan amat penting dan pemain harus melupakan kehebatan lawan, sebaliknya melihat kelebihan dan kekuatan sendiri yang harus digunakan sebaik mungkin bagi melenyapkan keyakinan mereka atas kelebihan yang mereka miliki.

“Tidak kira berapa gol, walaupun hanya beza satu gol ke atas lawan, kelebihan pasti memihak kepada kami. Tiada perkara mustahil untuk dicipta.

“Ledakan dua gol dan mendahului dua kali ketika aksi di Melaka, pastinya mampu untuk cuba diulangi malam ini dengan syarat semua percubaan ke arah gawang pasukan PKNS perlu disekat walau apa cara sekalipun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 10:18 AM