Elavarasan (kanan) anggap Kedah tetap berbahaya biarpun tanpa Akhyar. FOTO
Elavarasan (kanan) anggap Kedah tetap berbahaya biarpun tanpa Akhyar. FOTO
Nazri Abu Bakar

 

MELAKA: Kedah tetap memiliki serangan berbisa walaupun beraksi tanpa khidmat Akhyar Rashid pada pertemuan berdepan Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam esok. 

Ketua jurulatih MU, E Elavarasan berkata 'Neymar Kedah' itu diakui ancaman buat skuadnya, namun ketiadaan pemain terbabit bukan khabar gembira buat anak buahnya kerana lawan masih memiliki pemain lain yang mampu merobek gawang tuan rumah.

Akhyar yang kini bersama skuad negara ke Kejohanan Piala AFF bawah 19, Indonesia sejak 1 Julai lalu, antara bintang digeruni benteng lawan, namun tanpa kelibatnya ia tetap dilihat bukan laluan mudah buat skuad Hang Tuah meraih tiga mata berharga.

Bagi Elavarasan, kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta'zim  (JDT ) di gelanggang sama mendedahkan kelemahan pertahanan pasukan yang harus ditangani malam esok.

Justeru, beliau mahu kubu lebih kukuh dibina untuk memastikan barisan depan Kedah tidak mampu menjaringkan gol walaupun tanpa sentuhan Akhyar.

"Skuad Helang Merah pastinya turun dengan semangat tinggi selepas mereka tewas pada aksi sebelum ini, malah kedudukan tempat ketiga liga juga bakal menjadi antara motivasi penting buat mereka untuk memenangi perlawanan.

"Kami menghormati pasukan berkenaan, namun sudah pasti kami juga mahu meraih tiga mata di laman sendiri. Malah, rekod kemenangan 2-0 ke atas lawan sama pada pusingan pertama di Alor Setar mampu diulangi kali ini," katanya.

Katanya, fokus pada setiap pergerakan bola, lawan dan rakan di gelanggang mampu untuk menerbitkan keserasian yang jitu bagi menjaringkan gol serta mengelak gawang daripada dibocori lawan.

"Sehubungan itu, saya mengharapkan  gabungan barisan tengah, benteng dan serangan bakal bertindak efektif untuk menyumbang mata maksimum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 8:06 PM