SELEBRITI tanah air kongsi pandangan berikutan kes babitkan ular timpa pelajar.
SELEBRITI tanah air kongsi pandangan berikutan kes babitkan ular timpa pelajar.
Ramlah Zainal


Kematian murid tahun satu Nuriey Nadhirah Roslan, 7, selepas dipercayai dipatuk ular di sekolahnya di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, pada 19 April lalu bukan saja menjadi topik utama akhbar tempatan tetapi juga ‘viral’ di Internet.

Ia disusuli kes pelajar tahun dua yang dipatuk ular dalam kawasan sekolah ketika kelas pendidikan jasmani di padang sekolah berkenaan di Rembau sehari selepas itu.

Ancaman reptilia ini semakin membimbangkan apabila satu lagi kes dilaporkan membabitkan pelajar tingkatan tiga di sekolah berasrama penuh di Sungai Gadut, Seremban yang cedera kerana dipatuk ular.

Malah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut melaporkan pihaknya juga berjaya menangkap 12,006 ekor ular pelbagai spesies yang mengancam orang ramai sejak fenomena El Nino melanda negara.

Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi JPAM Muhd Yusoff Samad berkata, peningkatan panggilan kecemasan membabitkan kemunculan ular di kediaman juga meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu.

Justeru, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan melaporkan kepada JPAM atau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya ular memasuki kediaman mereka.

Beberapa artis terkenal tanah air turut prihatin mengenai kes ini dan meminta pihak berkuasa terutama pihak sekolah meningkatkan tahap keselamatan.

DATUK AZNIL NAWAWI (Pengacara, pelakon)

“Ibu bapa dan guru di sekolah perlu mendidik pelajar serta anak me­ngenai bahaya ular dan reptilia berbisa yang lain sejak peringkat awal.

“Maklumlah, anak-anak kita yang masih kecil tidak tahu bahayanya reptilia ini kerana mereka sering didedahkan dengan kempen mencintai haiwan termasuk bermain dan memegang ular di televisyen.

“Pada masa sama, kanak-kanak juga perlu menjauhkan diri dari kawasan yang berpotensi tempat haiwan berbisa ini bersarang seperti semak dan lalang.

“Pelajar juga perlu melaporkan kepada pihak berkuasa seperti JPAM jika terjumpa ular di kawasan kediaman dan tempat awam, katanya.

EJA (pelakon)

“Saya berharap pihak sekolah memandang serius kejadian ular yang mengancam keselamatan pelajar di sekolah ketika ini berikutan fenomena El Nino ketika ini.

“Tahap keselamatan pelajar perlu ditingkatkan terutama di pekarangan sekolah dan berhampiran semak samun dan hutan.

“Pihak sekolah juga perlu mengingatkan pelajar mengenai bahayanya reptilia berbisa seperti ular terutama pada perhimpunan sekolah supaya pelajar sentiasa berwaspada setiap hari,” katanya.

FAYE KUSAIRI (pelakon)

“Dalam keadaan cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini, pihak sekolah perlu mengurangkan aktiviti luar seperti kokurikulum sebagai langkah keselamatan kepada pelajar.

“Pihak sekolah perlu bertindak lebih proaktif dalam isu ini.

“Pihak sekolah perlu mengambil langkah keselamatan yang lebih berkesan untuk membasmi reptilia berbisa ini di dalam dan luar sekolah atau tempat yang dikenal pasti reptilia itu bersarang.

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan untuk sentiasa mengingati dan menasihatkan anak masing-masing supaya tidak bermain di kawasan semak samun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:01 AM