MOHD Zu menunjukkan tangan kanannya yang cacat akibat dipatuk ular tedung senduk pada 2010.
MOHD Zu menunjukkan tangan kanannya yang cacat akibat dipatuk ular tedung senduk pada 2010.
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: “Kalau tidak dapat tangkap ular dalam sehari, saya tidak akan senang hati, biasanya jika tiada kes, saya akan bermain ular dalam sangkar di pejabat bagi melepaskan gian,” kata Mohd Zu Mohd Nor, 28, anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Terengganu.

Menurutnya, reptilia berbisa itu sudah sebati dengan kehidupannya, malah pengalaman dipatuk ular senduk pada 2010 sehingga nyaris mengorbankan nyawanya tidak menjejaskan minatnya.

“Nyawa saya hampir melayang gara-gara dipatuk ular senduk ketika menyertai operasi menangkap ular berbisa di Kampung Wakaf Tengah, malah akibat kejadian itu tangan kanan menjadi cacat.

“Saya memang menyedari risiko bermain dengan ular berbisa, namun kegiatan itu sudah tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan menyebabkan saya berterusan menyertai operasi menangkap reptilia itu.

“Cuma pengalaman dipatuk ular hingga menyebabkan saya terlantar selama tiga bulan cukup memberi pengajaran supaya lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan ular berbisa itu,” katanya yang menjadi anggota sukarelawan JPAM sejak 12 tahun lalu.

Katanya, dia aktif menangkap ular sejak 2009 selepas menamatkan kursus menangkap ular disediakan JPAM dan sepanjang tempoh itu, lebih 10 ular tedung selar, 53 tedung senduk dan 30 ular sawa pernah ditangkapnya.

“Saat paling mencabar sepanjang tempoh itu ketika menangkap ular sawa batik seberat 110 kilogram di Batu Rakit pada 2012 selain operasi menangkap ular tedung selar sepanjang tiga meter dalam siling sebuah rumah di Kampung Buluh Gading.

“Saya mula memegang ular ketika berusia lapan tahun dan seperti dapat memahami tabiat pelbagai reptilia berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 9:53 AM