ANGGOTA JPAM menangkap ular tedung selar sepanjang tiga meter.
ANGGOTA JPAM menangkap ular tedung selar sepanjang tiga meter.

Langkawi: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung selar tiba-tiba menyelinap masuk ke bahagian enjin sebuah lori diletakkan di depan sebuah kedai di Taman Langkawi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi, kehadiran reptilia berbisa sepanjang tiga meter itu disedari mangsa yang kebetulan berada berhampiran lori itu lalu menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Langkawi Mohd Tajjul Arif Md Ansor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan haiwan berbisa itu jam 12.01 tengah hari sebelum empat anggota dikejarkan ke tempat kejadian untuk menangkap reptilia berkenaan.

“Usaha menangkap terpaksa dilakukan berhati-hati kerana reptilia itu dikesan menyorok di bahagian enjin lori diletakkan di depan kedai.

“Ular yang dipercayai datang dari kawasan semak berhampiran akhirnya berjaya ditangkap dalam tempoh 10 minit,” katanya, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memperakui kecekapan anggota JPAM menangkap reptilia berbisa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2016 @ 6:20 AM