BARISAN pelawak yang berjaya ke final MLM2016.
BARISAN pelawak yang berjaya ke final MLM2016.
Syanty Octavia Amry


Tidak mahu dirinya disamakan dengan pelawak Nabil Ahmad, peserta tunggal Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016, Rayza Mukmin mengakui dirinya masih baru dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari dalam dunia lawak.

Rayza atau nama sebenarnya Mohd Rizal Fahmi Mukhter berkata, bukan mudah berlawak secara solo di pentas.

Namun berada sehingga ke peringkat separuh akhir adalah satu perkara yang membanggakan buat dirinya dan akur tidak berjaya mara ke peringkat akhir bersama-sama teman lain.

“Saya akui masih baru dan banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Diharap tidak ada yang menyamakan saya dengan Nabil.

“Dia sudah lama berkecimpung dalam bidang lawak sebelum menyertai MLM. Sedangkan saya masih baru dan banyak lagi pengalaman yang perlu dikutip untuk memantapkan diri sebagai seorang pelawak,” katanya.

Rayza yang tersingkir pada peringkat separuh akhir MLM2016 terpaksa meninggalkan teman lain yang berjaya ke peringkat akhir iaitu Bocey, LOL, Joras dan Puteh.

Rayza berkata, sebagai seorang pelawak tunggal atau ‘stand-up comedy’ banyak cabaran perlu dilaluinya.

“Setiap kali hendak melakukan persembahan perasaan yang sering datang adalah gementar. Kadangkala apabila gementar saya berasa ‘lost’.

“Saya juga perlu pandai menguasai pentas dan apabila salah tiada siapa yang boleh memperbetulkan melainkan saya sendiri,” katanya.

Mengulas komen juri yang mengatakan lawaknya terlalu mendalam, Rayza berkata, dia akur dan mengakui belum dapat membiasakan diri dengan pentas MLM.

Bertemakan Trend Terkini dan Pantun, harapan Astro untuk melihat satu-satunya peserta tunggal ke peringkat akhir tidak tercapai.

Pengurus Saluran Astro Warna Emarina Mohd Kamal berkata, pihaknya sedikit terkilan apabila penyambung pelawak tunggal seperti Nabil tidak ada.

“Jika diikutkan kami berharap Rayza ke peringkat akhir bagi memberi kesinambungan pelawak tunggal seperti Nabil.

“Tapi saya faham mungkin ada segelintir yang belum boleh menerima kehadiran pelawak ‘stand-up comedy’ seperti ini.

“Insya-Allah, jika tiada halangan selepas ini kami akan lebih mempromosikan program membabitkan pelawak tunggal,” kataya.

Sementara itu, selaku juri, Ziana Zain berkata, kekuatan pada Rayza tidak nampak malah persembahan yang diberikan juga mendatar setiap minggu.

“Saya tahu sukar apabila berlawak seorang diri di pentas, pun begitu apa yang dipersembahkan belum cukup memuaskan hati kami.

“Lawak Rayza setiap minggu mendatar tiada perubahan untuk membuat kami lebih tertawa dan tertarik lagi,” katanya.

Peringkat akhir MLM2016 akan disiarkan secara langsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Jumaat depan.

MLM2016 dihoskan oleh Datuk AC Mizal dan bersiaran pada jam 10 malam di saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:54 AM