DARI kiri, Douglas, Nabil, Bob, Pengurus Saluran Astro Warna Emarina Mohd Kamal dan Ebby mempunyai misi mencari pelapis pelawak solo.
DARI kiri, Douglas, Nabil, Bob, Pengurus Saluran Astro Warna Emarina Mohd Kamal dan Ebby mempunyai misi mencari pelapis pelawak solo.

Bukan mudah untuk berlawak secara solo di depan khalayak ramai.

Keyakinan diri yang jitu, kreativiti tinggi dan kepantasan menukar topik persembahan menjadi elemen penting untuk menjadi seorang pelawak berjaya.

Jika tersilap percaturan boleh memalukan diri mereka sendiri.

Ciri individu beginilah yang dimahukan Astro Warna menerusi program realiti terbarunya iaitu Lawak Solo yang akan bersiaran di saluran Astro Warna, setiap Jumaat, jam 10 malam bermula Oktober ini.

Program ini bermatlamat mencari pelapis pelawak solo tanah air yang boleh mencuit hati peminat dunia komedi negara menerusi lawak bersahaja yang dilakukan bersendirian.

Ketua Pengisian dan Komedi Astro, Bob Azrai Kamaruddin berkata, Lawak Solo berbeza dengan program Skool of Lawak dan Raja Lawak kerana mereka memfokuskan kepada individu yang memiliki kemampuan berlawak secara semula jadi dan bersahaja.

“Kami mahukan individu yang mampu tampil dengan ‘punchline’ yang mantap. Lawak Solo mencari peserta yang mempunyai kebolehan menyampaikan lawak yang bernas pada masa yang sama penuh dengan unsur komedi.

“Lawak Solo dipecahkan kepada beberapa elemen kerana mungkin ada peserta yang berlawak secara ‘stand up’ dan ada yang berlawak secara ‘one man show’.

“Contohnya, Jalil Hamid mampu menghiburkan penonton dengan celotehnya. Begitu juga dengan Allahyarham Yusof Chong yang menggeletek penonton dengan meniru suara orang kenamaan. Datuk Jamali Shadat juga ada tarikan sendiri dalam persembahannya,” katanya.

Kewajaran program ini dihasilkan bagi melahirkan barisan pelapis pelawak solo.

“Kita perlu terus menyuburkan industri komedi tanah air. Lihat sahaja nama seperti Harith Iskander dan Nabil Ahmad yang berjaya membuktikan kemampuan mereka di arena masing-masing walaupun tampil solo di atas pentas,” katanya.

Peserta Lawak Solo bakal diuji dengan pelbagai cabaran komedi bertemakan stand-up, muzikal dan sebagainya. Mereka akan mendapat bimbingan tiga ikon komedi popular iaitu Nabil Ahmad, Douglas Lim dan Ebby Yus.

“Pemilihan dibuat atas kapasiti kebolehan mereka yang mampu menghiburkan peminat dalam genre komedi.

“Ketiga-tiga tenaga pengajar ini akan juga turun padang menjadi juri uji bakat dan mengenal pasti siapa yang berpotensi diketengahkan menjadi pelawak terunggul tanah air yang seterusnya,” katanya.

Ketiga-tiga ikon ini mengingatkan peserta yang hadir ke sesi uji bakat agar membuat persediaan secukupnya.

Lawak Solo menggunakan khidmat penjurian profesional sebanyak 70 peratus dan undian penonton sebanyak 30 peratus.

Juri tetap Lawak Solo akan diumumkan tidak lama lagi dan apa yang pasti, dua nama besar dunia komedi negara bakal menggalas tanggungjawab ini.

Juara Lawak Solo akan menerima wang tunai RM80,000 dan trofi. Naib juara dan tempat ketiga pula akan membawa pulang RM40,000 dan RM 20,000 serta trofi. Pemenang tempat keempat pula akan mendapat RM10,000.

Uji bakat Lawak Solo secara ‘online’ sudah pun bermula sejak 2 Ogos lalu. Peserta yang mahu mencuba nasib dikehendaki memuat naik video mereka di Instagram apabila mereka perlu mempersembahkan sketsa lawak masing-masing ataupun ‘stand-up comedy’ mereka yang berdurasi satu minit selain menyertakan hashtag #lawaksolo dan tag akaun Instagram @zonlawak.

Peserta yang berpotensi bakal mendapat laluan pantas ke sesi uji bakat yang akan diadakan di empat negeri yang berbeza di seluruh tanah air. Tiga puluh peserta yang disenarai pendek akan ke Kuala Lumpur bagi mengikuti latihan boot camp Lawak Solo, apabila hanya 10 peserta terbaik akan mara ke pusingan seterusnya dan layak bertanding merebut kejuaraan sulung Lawak Solo.

Uji bakat Lawak Solo terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 hingga 45 tahun.

Ia akan bermula pada 13 dan 14 Ogos di Penang Times Square, Pulau Pinang; Plaza Angsana, Johor Bahru (19 Ogos - 21 Ogos); 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu (27 Ogos - 28 Ogos) dan SACC Mall, Shah Alam (3 September - 4 September) dari jam 9 pagi sehingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:02 AM