Oleh Ardini Sophia Sina


Sebelum ini, pelawak Ahmad Nabil Ahmad seolah-olah kecewa apabila lawak dipersembahkannya ketika pertandingan Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) seakan-akan tidak diterima penonton.

Namun, situasi itu tidak menghalang semangat pelawak kelahiran Negeri Sembilan itu untuk terus beraksi dalam MLM 2014 bermula kelmarin.

Walaupun berdiri seorang diri di pentas dan menjadi satu-satunya peserta solo, Nabil akui itulah pembakar semangat untuknya terus mencari lawak segar.

Tegasnya, dia bukan me­nyertai pertandingan ini untuk mengejar gelaran juara, tetapi tujuan utamanya untuk memberikan kepelbagaian dalam berjenaka serta membuka lebih banyak mata untuk menerima komedi solo (stand-up comedy).

"Saya tidak terlalu memikirkan untuk menjadi johan dalam MLM. Paling penting, menghiburkan penonton. Bagi saya, MLM bukan pertandingan tetapi 'show' yang perlu saya jayakan.

"Apabila saya membuat persembahan ketika majlis korporat, pasti akan ada yang datang dan menepuk bahu serta memberi pujian. Itu antara pembakar semangat untuk terus berjuang sebagai pelawak yang bergerak seorang diri," katanya.

Nabil yang pernah bergabung dengan kumpulan Boboi menafikan keputusannya untuk terus menjadi pelawak solo bukan atas sebab dia tidak boleh bekerjasama dengan orang lain. Jauh sekali mahu membolot hadiah kemenangan untuk diri sendiri.

Katanya, pasti ada yang ber­anggapan lebih beruntung andai memenangi pertandingan itu kerana hadiah wang ringgit tidak perlu dibahagi dengan orang lain.

"Namun ini bukan pasal hadiah. Penyertaan saya bersama kumpulan Boboi dalam MLM 2012 membuktikan saya tidak ada masalah bekerjasama dengan orang lain.

"Bagaimanapun, stand up comedy sangat saya sukai. Ramai ingin menjadi pelawak tetapi mungkin menganggap untuk bergelar pelawak hanya dalam bentuk kumpulan.

"Saya mahu tunjukkan kepada mereka, menjadi pelawak tidak hanya terbatas dalam kumpulan," katanya.

Apabila beraksi di pentas MLM, satu demi satu kumpulan akan naik mempersembahkan lawak mereka. Ada segelintir penonton mungkin pelik apabila melihat Nabil seorang diri berusaha menghiburkan penonton.

Kata Nabil, masyarakat Malaysia belum cukup terbuka untuk menerima stand up comedy. Dari pemerhatiannya, pentas MLM menjadi medan pertandi­ngan populariti dan bukan

kreativiti.

"Apabila saya berdiri seorang diri, sememangnya pelik. Namun, itulah pilihan yang saya lakukan. Saya akui, saya bukan dikenali sangat pun. Saya tidak dapat menggunakan populariti sebagai bonus untuk menang dalam pertandingan ini.

"Ada peminat dan pelawak kata saya malas. Mereka kata, buat apa mahu undi saya yang tidak nampak usaha untuk membawa prop ketika mengadakan persembahan," katanya.

Bagi Nabil, dia tidak perlukan jeritan atau sorakan orang ramai apabila menyaksikan persembahannya. Yang penting baginya, mereka ketawa ketika dia berjenaka dan itulah perkara dianggap paling susah dilakukan.

"Melihat komedi jenis ini diadakan di beberapa tempat di sekitar Kuala Lumpur, ada bahagian terbuka. Sesiapa saja boleh pergi dan membuat lawak. Walaupun tetamu tidak faham, mereka masih bertepuk tangan untuk memberi semangat.

"Itulah suasana yang saya inginkan. Andai mampu, saya mahu mendidik rakyat Malaysia mencintai dan menghargai seni. Walaupun meminati selebriti lain, tetap menyokong semua anak seni," katanya.

Sebelum melangkah memulakan persembahan jenaka, Nabil akan membuat eksperimen terlebih dulu. Dia mahu memastikan lawak disampaikan itu benar-benar mencuit hati penonton.

"Saya hanya mahu lakukan yang terbaik. Tidak kira MLM atau persembahan mana pun, saya mahu pulang dengan rasa puas hati.

"Bagaimanapun, kalau saya gagal membuat orang ketawa, mulalah saya tidak senang duduk. Saya berfikir di mana silapnya.

"Setiap lawak yang saya bawakan adalah hasil keadaan sekeliling tetapi sebelum menjadikan ia sebahagian dari 'show', saya akan buat dengan orang lain dulu. Kalau mereka ketawa, bermakna saya boleh gunakan itu dalam setiap persembahan.

"Rakan saya jenis sukar ketawa. Disebabkan mereka terbiasa dengan saya, mereka tahu jenaka yang akan saya lakukan.

"Hanya apabila mereka ketawa kuat, baru saya pilih untuk disuntik dalam persembahan," katanya.

Turut bertanding, Sepah 2, Virus (gabungan Jambu dan Zizan Razak), Wala dan Bocey.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:01 AM