HAFIZ (kiri) dan Olivi terbabit insiden pergaduhan di bilik persalinan pasukan Selangor ketika perlawanan menentang FELDA, minggu lalu.
HAFIZ (kiri) dan Olivi terbabit insiden pergaduhan di bilik persalinan pasukan Selangor ketika perlawanan menentang FELDA, minggu lalu.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menafikan sekeras-kerasnya wujud istilah ‘anak emas’ dalam pasukan Selangor susulan keputusan FAS sekadar merehatkan penyerang importnya Mauro Olivi dan melepaskan Hafiz Kamal biarpun kedua-dua pemain itu dilaporkan bergaduh dalam bilik persalinan.

Pengurus Amirudin Shari berkata, hasil laporan bertulis serta saksi yang berada di tempat kejadian, Olivi dipercayai memulakan insiden pergaduhan itu dengan menyalahkan rakan lain sebagai punca ketika kekalahan 1-3 kepada FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak, minggu lalu.

Katanya, dalam pergelutan itu bekas pemain skuad Tok Gajah itu langsung tidak memberi tindak balas sebaliknya hanya Olivi yang menyerang Hafiz sebelum diredakan oleh rakan sepasukan.

“Hasil laporan pemain dan pegawai serta saksi kejadian, jelas dia (Mauro Olivi) yang memulakan insiden itu ketika pemain lain masih kecewa akibat kekalahan kepada FELDA.

“Dia meluru ke arah Hafiz yang tidak memberi sebarang reaksi balas atau cuba bertindak balik. Dalam kes ini jelas sekali Olivi bersalah dan sebab itu pengurusan hanya merehatkan dia sahaja manakala Hafiz tidak dikenakan tindakan.

“Keputusan dibuat berdasarkan laporan bertulis pemain malah Olivi sendiri mengaku bertanggungjawab memulakan pergaduhan itu.

“Jadi, saya harap segala spekulasi mengenai Hafiz tidak timbul lagi dan paling mustahak pasukan kembali harmoni, sekali gus mencatat keputusan positif,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 9:42 AM