REAKSI kecewa pemain Barcelona Luis Suarez (kanan) di kawasan gol Valencia.
REAKSI kecewa pemain Barcelona Luis Suarez (kanan) di kawasan gol Valencia.
AFP

Madrid: Jaringan ke-500 Lionel Messi ternyata masih belum mampu menyelamatkan Barcelona daripada terus mencatat keputusan mengecewakan dengan kekalahan keempat dalam lima perlawanan apabila tewas 1-2 kepada Valencia di laman sendiri, awal pagi semalam.

Atletico Madrid kini berkongsi kedudukan dengan 76 mata dengan Barca di puncak La Liga dengan baki lima perlawanan selepas mereka menewaskan Granada 3-0, namun kelab Catalunya itu mendahului berdasarkan rekod pertemuan yang lebih bagus.

Real Madrid di tangga ketiga hanya ketinggalan satu mata selepas menewaskan Getafe 5-1, kelmarin.

Valencia tewas 0-7 kepada Barca dalam kunjungan terakhir mereka ke Nou Camp dua bulan lalu di bawah kendalian bekas pengurus Gary Neville, namun berjaya menebus kekecewaan itu hasil jaringan Ivan Rakitic ke gawang sendiri dan penyudah hebat Santi Mina sebelum tamat separuh masa.

Messi menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa jaringan untuk gol ke-500 buat kelab dan negara namun gagal membangkitkan semangat melawan Barca, meneruskan aksi hambar sejak beberapa minggu lalu selepas rekod 39 perlawanan tanpa kalah berakhir.

Selepas hampir menjulang tiga trofi kali kedua berturut-turut dua minggu lalu, Barca mungkin terlepas tiga trofi utama apabila tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Atletico minggu lalu dan hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan terakhir La Liga.

Biarpun berdepan kekalahan kebelakangan ini pengurus Barca Luis Enrique memuji aksi pasukannya dan yakin mereka boleh menang lima perlawanan terakhir untuk mempertahankan gelaran itu.

“Tuah tidak menyebelahi pasukan. Saya mengucapkan tahniah kepada pemain kami yang tabah menghadapi kesukaran ketika perlawanan,” kata Enrique.

“Kami masih bergantung kepada diri sendiri. Kami tidak boleh melakukan kesilapan lagi dan sedar cabaran yang menanti.

“Kini kami berdepan cabaran besar, lima perlawanan yang perlu kami menangi untuk bergelar juara.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:09 AM