INIESTA cedera ligamen lutut kanan.
INIESTA cedera ligamen lutut kanan.
AFP

Madrid: Lionel Messi berjaya mengatasi kegagalan menyempurnakan sepakan penalti dengan jaringan kemenangan pada minit ke-94 untuk membawa Barcelona ke puncak La Liga selepas mengalahkan Valencia 3-2, kelmarin.

Bagaimanapun, Barca terpaksa membayar harga yang mahal untuk kemenangan itu apabila Andres Iniesta berdepan masalah ligamen lutut kanannya yang mungkin menyebabkannya tidak dapat beraksi selama beberapa bulan.

Messi menjaringkan dua gol dan jaringan pembukaannya pada separuh masa pertama dikira sah biarpun Luis Suarez berada di kedudukan ofsaid.

Valencia bangkit dengan dua gol dalam tempoh enam minit di separuh masa kedua menerusi pemain pinjaman Barca Munir El Haddadi dan Rodrigo.

Bagaimanapun, Suarez dijatuhkan di kawasan penalti oleh Aymen Abdennour bagi membolehkan Messi memberanikan diri dan berjaya menewaskan pakar penghalang sepakan penalti Diego Alves untuk pulang dengan tiga mata.

Kemenangan itu membolehkan skuad juara itu mendahului satu mata berbanding Atletico Madrid dan Real Madrid yang masing-masing akan berdepan Sevilla dan Athletic Bilbao selepas ini.

Messi mungkin antara pemain bola sepak terbaik tetapi bergelut ketika menyempurnakan sepakan penalti sejak beberapa musim lalu khususnya ketika Argentina tewas kepada Chile dalam Copa America Jun lalu.

“Tidak syak lagi penyudah sepakan penalti terbaik kami adalah Leo Messi,” kata pengurus Barca Luis Enrique.

Penjaga gol Valencia Alves menyelamatkan tiga sepakan penalti musim ini termasuk yang diambil Messi sebelum ini tetapi malam ini dia tewas menerusi rembatan bola rendah di sebelah kanannya.

“Messi mengambil tanggungjawab pada detik terbaik dan ia memberikan perasaan istimewa buat kami,” kata Enrique.

Suasana semakin panas selepas jaringan Messi apabila Suarez dan Neymar dibaling penyokong Valencia dengan botol plastik ketika Barca meraikan kemenangan.

“Kami meraikan seperti yang biasa dilakukan menerusi kemenangan saat akhir,” kata Enrique.

Perlawanan baru berlangsung selama 14 minit apabila Iniesta dibawa keluar dari padang dalam keadaan menangis sambil memegang lutut kanannya selepas dikasari Enzo Perez.

Enrique berang dengan tindakan pengadil Alberto Undiano Mallenco yang tidak menghukum Perez dan banyak lagi kekasaran ke atas pemain Barca langsung tidak dipedulikan.

Barca mengesahkan Iniesta mengalami kerosakan ligamen lutut namun berkata pemeriksaan lanjutan akan diadakan untuk mengetahui tahap kecederaan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2016 @ 5:10 AM