MESSI (kanan) meraikan gol bersama rakan.
MESSI (kanan) meraikan gol bersama rakan.
AFP

Madrid: Barcelona yang mendapat inspirasi Lionel Messi mengukuhkan cengkaman di persada La Liga apabila menang 4-0 ke atas Eibar, awal pagi semalam.

Atletico Madrid kekal lapan mata di belakang Barca sambil berbaki 10 perlawanan musim ini apabila Fernando Torres yang masuk sebagai pemain gantian, menjaringkan gol bagi membolehkan pasukannya menang 3-1 di Valencia.

Munir El Haddadi menghasilkan gol pembukaan hasil hantaran lintang Luis Suarez sebelum Messi menggandakan kelebihan Barca menerusi gerakan solo menarik sebelum rehat.

Messi menjaringkan gol kedua peribadinya selepas menyempurnakan penalti sebelum Suarez menghasilkan gol keempat ketika permainan berbaki enam minit.

Kemenangan ke-11 berturut-turut Barca itu juga melebarkan rekod tanpa kalah kepada 36 perlawanan.

Real Madrid kekal 12 mata di belakang Barca di tangga ketiga walaupun Cristiano Ronaldo berjaya meledak empat gol ketika pasukannya menang 7-1 ke atas Celta Vigo.

“Ia menjadi bukti betapa kami berada di kedudukan terbaik liga setakat ini tapi masih banyak mata untuk direbut termasuk bertemu musuh utama,” kata pengurus Barca Luis Enrique.

“Saya seronok melihat semua pemain semakin meningkat dan bermain tanpa rasa hilang keyakinan.”

Di Mestalla, Atletico melengkapkan minggu sempurna menerusi kemenangan ke atas Real Madrid serta Real Sociedad sekali gus menambah tekanan pengurus Valencia Gary Neville yang tidak lagi mendapat kepercayaan penyokong.

“Saya mungkin menjadi individu paling terkejut dan kecewa selepas perlawanan ini,” kata Neville.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 7:20 AM