NEYMAR (kiri) dijulang Suarez selepas meledak gol untuk Barcelona.
NEYMAR (kiri) dijulang Suarez selepas meledak gol untuk Barcelona.
AFP

Madrid: Barcelona hanya memerlukan satu kemenangan untuk mempertahankan gelaran La Liga selepas Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar menjaringkan gol ketika membelasah Espanyol 5-0 dalam pertembungan Catalunya, kelmarin.

Real Madrid naik ke tangga kedua, satu mata di belakang Barca dengan baki satu perlawanan, apabila merekod kemenangan ke-11 La Liga berturut-turut, 3-2 ke atas Valencia menerusi dua gol Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun, harapan Atletico Madrid bergelar juara terkubur apabila tewas 1-2 di tangan Levante yang sudah turun divisyen.

Barca akan bergelar juara dengan kemenangan ke atas Granada hujung minggu ini yang secara matematiknya selamat daripada penyingkiran selepas menang 4-1 ke atas Sevilla.

Real Madrid berkunjung ke Deportivo la Coruna pada hari terakhir musim ini.

“Kami akan bermain untuk liga membabitkan 38 perlawanan dalam satu perlawanan,” kata jurulatih Barca Luis Enrique.

“Pastinya ada tekanan, kami dan Real Madrid berada dalam situasi sama bermain di tempat lawan dan memerlukan kemenangan.

“Hadiahnya sudah ada dan cukup menarik perhatian hingga memberi motivasi terhadap kami.”

Barca bermula cemerlang apabila Messi menyempurnakan sepakan percuma ke sudut atas gawang pada minit kelapan.

Namun, mereka perlu menunggu hingga tujuh minit selepas babak kedua untuk gol kedua apabila Messi menghantar bola kepada Suarez yang meledak bola tinggi mengatasi penjaga gol Pau Lopez.

Suarez mengekalkan kelebihan empat gol mengatasi Ronaldo sebagai penjaring terbanyak liga selepas menjaringkan gol ke-56 musim ini berikutan sepakan sudut Neymar.

Kesilapan Lopez memberikan Rafinha peluang mudah untuk gol pertamanya selepas mengalami kecederaan lutut serius pada awal musim, sebelum Neymar melengkapkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2016 @ 7:42 AM