Kuala Lumpur: Kerajaan menyeru semua syarikat perniagaan di Malaysia supaya tidak hanya sekadar menjadi ‘jaguh kampung’ malah berupaya memacu kejayaan seterusnya mengukuhkan kedudukan di peringkat serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, antara inspirasi yang boleh dicontohi ialah dengan melihat kejayaan yang mampu dicapai CIMB Group apabila kini menjadi salah satu bank terbesar di rantau ini.

Katanya, beliau juga yakin CIMB dapat memainkan peranan dengan sebaiknya dengan pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) pada tahun depan.

“Dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2015, saya yakin bahawa CIMB akan memainkan peranan secara aktif dalam pelaksanaan AEC.

“Berdasarkan kejayaan yang dicapai oleh CIMB, saya berharap perniagaan di Malaysia yang lain memperolehi sumber inspirasi untuk muncul sebagai juara serantau dan bukan hanya sekadar menjadi ‘jaguh kampung’ saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Menara CIMB sempena sambutan ulangtahun ke-40 bank berkenaan di KL Sentral, semalam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar,Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Panel Penasihat Antarabangsa CIMB Group Tun Musa Hitam.

Sementara itu, Najib berkata, pelancaran bangunan baru CIMB juga adalah simbol kepada pencapaian besar kepada pertumbuhan mampan CIMB yang meletakkan kedudukannya sebagai syarikat ASEAN yang berpandangan ke hadapan.

Katanya, CIMB juga adalah majikan utama di negara ini kepada 20,000 kakitangan di Malaysia dan 40,000 lagi di ASEAN.

“Sebagai sebuah institusi perbankan sejagat berintegriti dan bereputasi, ia menyediakan kestabilan kepada negara dan rantau ini.

“CIMB melalui perjalanan yang jauh sebagai bank pelaburan dan kini berkembang sebagai salah satu bank terbesar bukan saja di Malaysia, tetapi di rantau ini. Ia juga sebagai peneraju dunia dalam kewangan Islam dan kini beroperasi di 18 negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 9:18 AM