Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menyemak semula sasaran pertumbuhan pembiayaannya tahun ini kepada enam hingga tujuh peratus berbanding sasaran awal iaitu 10 peratus berikutan situasi ekonomi makro yang mencabar di Asean.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, CIMB turut menyemak semula pulangan ekuitinya (ROE) daripada 10 hingga sembilan peratus bagi memastikan ia selari jangkaan pasaran.

Menurutnya, kumpulan itu menjangkakan peningkatan sederhana dalam pertumbuhan pembiayaan bagi separuh kedua tahun ini, namun ia dilihat mencabar dan menyasarkan pertumbuhan pembiayaan dan ROE lebih rendah daripada sasaran asal.

“Namun, kami masih berada di landasan baik untuk mencapai sasaran bagi aspek lain seperti modal, kos dan pembayaran dividen tahun ini,” katanya ketika pengumuman prestasi kewangan separuh pertama 2016 CIMB, di sini, semalam.

Kumpulan CIMB mencatatkan peningkatan 1.7 peratus keuntungan bersih kepada RM1.67 bilion untuk tempoh enam bulan pertama berakhir 30 Jun lalu daripada RM1.66 bilion tahun lalu disumbang melalui peningkatan Indonesia dan inisiatif kos pengurangan berterusan.

“Kami menjangka prestasi cawangan di Indonesia iaitu CIMB Niaga kekal sederhana manakala CIMB Malaysia dan Singapura mengalami tekanan selari dengan persekitaran ekonomi lebih perlahan di kedua-dua negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zafrul berkata, kumpulan itu menutup 22 cawangan bagi operasi Malaysia sejak Ogos lalu dan sebuah lagi cawangan bulan ini sebagai sebahagian proses pendigitalan dan pengoptimuman kos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 7:38 AM