NAZIR (kanan) bersama Zafrul pada sidang media pengumuman keputusan kewangan CIMB, semalam.
NAZIR (kanan) bersama Zafrul pada sidang media pengumuman keputusan kewangan CIMB, semalam.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: CIMB Holdings Bhd berada di landasan tepat untuk meluaskan pasarannya di Asean dan mengkaji untuk memohon lesen bagi beroperasi di Filipina dan Vietnam.

Pengerusinya Datuk Seri Nazir Razak berkata, Filipina dan Vietnam adalah negara yang masih belum diteroka dan menjelang 2018, pihaknya yakin mempunyai operasi di semua pasaran negara Asean.

“Peluasan ini sejajar dengan inisiatif Sasaran 2018 kumpulan CIMB yang menyasarkan untuk mempunyai kedudukan kukuh di semua negara Asean.

“Sekarang, kami dalam proses memohon lesen untuk beroperasi di kedua-dua negara terbabit,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-58 CIMB, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Zafrul berkata, tahun ini CIMB menyasarkan pertumbuhan pinjaman kumpulan kepada 10 peratus, didorong pertumbuhan operasi Malaysia.

Menurutnya, operasi kumpulan di Indonesia, Singapura dan Thailand dijangka menyumbang pertumbuhan pinjaman dua angka kepada prestasi keseluruhan kumpulan tahun ini.

“Kami menjangkakan keuntungan CIMB Niaga, operasi kumpulan di Indonesia meningkat ketara pada suku kedua dan secara keseluruhan kami anggarkan prestasi akan lebih baik pada suku ini dan meningkat ketara pada separuh kedua 2015,” katanya.

Sementara itu, Nazir turut mengulas mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan menyatakan isu berkaitan 1MDB itu tidak wajar diperbesarkan dan perlu dihentikan kerana ia menjejaskan sentimen pelabur terhadap Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada isu 1MDB membawa impak atau risiko kepada sistem kewangan lebih luas di Malaysia dan prestasi ringgit.

“Saya menyokong kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bahawa 1MDB tidak mendatangkan risiko sistemik kepada sistem kewangan Malaysia dan pergerakan ringgit.

“Saya rasa kita perlu dedahkan (apa yang perlu didedahkan) bagi rakyat mendapat gambaran penuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 8:30 AM