Mustapa  (tiga dari kiri) menerima cenderahati yang disampaikan    Moehamad Izat  pada Forum Explorasean,    semalam.
Mustapa (tiga dari kiri) menerima cenderahati yang disampaikan Moehamad Izat pada Forum Explorasean, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Usahawan Bumiputera terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), digalakkan untuk mengambil peluang dalam platform e-dagang bagi meneroka pasaran Asean.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, usahawan tidak seharusnya terlalu bergantung kepada model perniagaan sedia ada yang hanya menjual produk yang terlalu banyak persaingan di pasaran.

Katanya, PKS tempatan diakui banyak membeli barang secara borong di Indonesia dan Vietnam misalnya seterusnya menjual produk itu di sini.

“Aktiviti dagangan seperti itu bagus, namun PKS perlu meningkatkan model perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi dan meneroka pasaran luar negara terutama di Asean.

“Pasaran bagi produk seperti tudung yang dibeli di Vietnam dan Bandung, Indonesia semakin hari semakin tepu dan berlambak di pasaran,” katanya kepada media selepas melancarkan Forum Explorasean, di sini, semalam.

Mustapa berkata, PKS harus keluar daripada perniagaan sedemikian dan beralih kepada perniagaan yang lebih canggih seperti produk tekstil bernilai tinggi.

Menurutnya, PKS Bumiputera juga harus memanfaatkan platform e-dagang selain meneroka pasaran serantau untuk mengembangkan perniagaan mereka lebih meluas.

Antara inisiatif kerajaan untuk mengembangkan sektor e-dagang di negara ini melalui Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang membuka peluang kepada 1,500 usahawan mengembangkan perniagaan mereka.

Forum anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di Menara Matrade itu dihadiri lebih 200 peserta.

Sementara itu, Presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir berkata, melalui program itu, usahawan akan menjadi berdaya saing terutama bagi bidang perusahaan, perdagangan, industri dan pembuatan.

“Peserta dapat mengenal pasti peluang perniagaan di negara Asean seterusnya membantu mempercepat pertumbuhan ekonomi dan kami akan membimbing lebih ramai usahawan Melayu untuk menembusi pasaran Asean,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 5:46 AM