JORDAN Spieth.
JORDAN Spieth.
POTRET keluarga.
POTRET keluarga.
GELANGGANG bola keranjang.
GELANGGANG bola keranjang.
GARAJ memuatkan kereta milik Spieth.
GARAJ memuatkan kereta milik Spieth.
GIMNASIUM bantu Spieth kekal cergas.
GIMNASIUM bantu Spieth kekal cergas.
REKAAN dalaman rumah agam Spieth penuh gaya.
REKAAN dalaman rumah agam Spieth penuh gaya.
KOLAM renang cantik di luar rumah.
KOLAM renang cantik di luar rumah.

Jordan Spieth berada di Abu Dhabi minggu ini berdepan Rory McIlroy untuk pertembungan pertama mereka tahun ini tetapi adakah sukar bagi Spieth melangkah keluar dari pintu hadapan rumahnya?

Lihat saja pada rumah agam baru Spieth bernilai AS$8.5 juta (RM25.4 juta) di Dallas dan anda akan tahu sebabnya.

Pemain nombor satu dunia berusia 22 tahun itu meraih AS$53 juta (RM232.5 juta) sepanjang tahun lalu, mengatasi Tiger Woods sebagai penerima pendapatan tertinggi dengan menjuarai Masters dan Terbuka Amerika Syarikat.

Bulan lalu, dia membelanjakan sejumlah wang untuk kediaman selayaknya sebagai ‘raja baru’ sukan itu.

Rumah lima bilik tidur itu menampilkan ciri kemewahan yang dicipta khas buat Spieth.

Namun bukan satu kebetulan jika rumah itu sesuai dengan seleranya kerana sebelum ini ia dimiliki Hunter Mahan, pemain tiga edisi Piala Ryder dan pemenang enam kali Jelajah PGA.

Garaj bawah tanah yang menempatkan 12 kereta cukup mengagumkan namun jika anda melihat lebih dekat, anda boleh melihat sebuah mural Kelab Golf Nasional Augusta di mana Spieth menjulang kejohanan utama sulungnya April lalu.

Terdapat juga sebuah simulator golf tertutup di mana anak jati Texas itu boleh terus bermain jika tidak mahu berlatih di lapangan termasuk sebuah gimnasium tertutup dan kolam renang di luar rumah yang cantik bagi membolehkannya kekal cergas.

Jika bosan dengan golf, Spieth boleh membawa rakannya ke gelanggang bola keranjang tertutup dengan papan markah digital.

Spieth juga boleh mengasah skil bermain ping pong di rumah barunya menjelang perlawanan kompetitif bersama pasukan AS untuk Piala Ryder akhir tahun ini biarpun belum tentu teman wanitanya, Annie Verret mampu dipujuknya bermain sama.

Selain tempat menyimpan wain, dia pasti akan memanfaatkan bilik memanggang di rumah agam itu untuk parti barbeku.

Bilik memanggang itu lengkap dengan pendingin hawa, hud pemanggang, peti sejuk serta kaunter dan sinki untuk menyiapkan bahan-bahan barbeku.

Nampaknya Spieth juga pakar dalam bidang hartanah. Menurut blogger hartanah Candy Evans yang mendedahkan maklumat terperinci mengenai rumah baru Spieth, pemain golf itu juga berjaya mendapatkan rumah itu pada harga lebih AS$7 juta (RM30.7 juta) bermakna dia berjaya menjimatkan hampir AS$1.5 juta (RM6.59 juta) daripada harga asal.

Biarpun memiliki rumah agam sehebat itu, Spieth sanggup meninggalkan untuk menentang McIlroy di Kejohanan HSBC Abu Dhabi.

Spieth menjuarai kejohanan pertamanya tahun ini iaitu Kejohanan Juara-Juara di Hawaii dengan kelebihan lapan pukulan menjadikannya pemain kedua dalam sejarah Jelajah PGA untuk menamatkan kejohanan 70 lubang dengan 30 di bawah par atau kurang.

Biarpun dengan kehadiran pemain nombor tiga dunia, McIlroy ke Timur Tengah, Spieth akan menjadi pemain pilihan untuk meneruskan penguasaan awal 2016 dan meraih hadiah utama di Abu Dhabi.

Turut berada dalam saingan itu adalah Rickie Fowler, Henrik Stenson, Martin Kaymer, Lee Westwood, Ian Poulter dan ramai lagi.

Spieth bagaimanapun bimbang dengan McIlroy yang meletakkan statusnya sebagai pemain golf nombor satu Eropah di Dubai, November lalu biarpun mengharungi kempen tahun lalu dengan masalah kecederaan.

“Pada musim yang dianggapnya sebagai satu kekalahan, dia masih mampu bangkit untuk menjuarai Race to Dubai dan membuktikan kemampuannya sebagai pemain,” kata Spieth.

“Saya pasti tidak ramai pemain yang bekerja keras sepertinya untuk menjadikan musim ini sebagai musim terbaiknya dan itu memang menakutkan. Saya harap dapat menghalangnya.”

Namun bagaimana Spieth mampu menakluki tahun lalu dengan menjulang gelaran utama perdananya diikuti yang berikutnya dalam Kejohanan Terbuka dan Kejuaraan PGA AS dan sampai ke kemuncak ranking sukan ini.

“Saya ingin menyertai beberapa perlawanan kejohanan utama pada Ahad, mahu menang sekurang-kurangnya satu daripadanya,” katanya.

“Saya juga ingin mewakili Amerika Syarikat bukan saja dalam Sukan Olimpik tetapi juga Piala Ryder. Pastinya hebat jika dapat meraih kemenangan, bukan saja untuk diri sendiri tetapi juga untuk negara.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 8:09 AM