AMRI (kiri) menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan.
AMRI (kiri) menjalani latihan bersama skuad Harimau Selatan.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hasrat penyokong setia Selangor untuk melihat penyerang veteran, Amri Yahyah menyarung jersi Merah Kuning menerusi jendela perpindahan pertengahan bulan ini tidak kesampaian susulan nilai penebusan kontrak pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu yang agak tinggi.

Amri yang mula menyertai Johor DT pada 2014 selepas menabur bakti bersama Red Giants selama 12 tahun dikhabarkan bakal tamat kontrak pada penghujung musim ini dengan penyerang yang kini menjangkau usia 35 tahun itu mahu menamatkan kariernya di Selangor.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), persatuan itu harus menebus sekitar RM510,000 sekiranya mahu membawa pulang pemain kelahiran Tanjung Karang itu.

“Sebelum ini ejen dia (Amri Yahyah) dua kali berjumpa secara tidak rasmi dengan seorang pegawai kami (FAS) bagi membincangkan masa depan pemain itu.

“Kata ejen itu, Amri berhasrat pulang ke Selangor sebelum membuat keputusan menggantung but. Berdasarkan maklumat, dia tidak mempunyai masalah selama di Johor DT malah gembira dengan pencapaiannya.

“Faktor usia menyebabkan dia mahu memberi laluan pemain muda untuk membarisi skuad Harimau Selatan.

“Tapi disebabkan harga penebusan terlalu tinggi, kami terpaksa melupakan hasrat dan tunggu hingga penghujung musim ini,” kata sumber itu, semalam.

Selain Amri, beberapa nama lain turut dikaitkan dengan juara Piala Malaysia itu terutama menjelang pintu perpindahan pemain pada 15 Jun ini.

Antara nama yang berada dalam radar ialah bekas penyerang import Pahang Dickson Nwakaeme yang dijangka menggantikan tempat penyerang Argentina Mauro Olivi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 8:44 AM