SUASANA meriah di perkarangan Stadium Etihad menjelang perlawanan Manchester City dan Manchester United.
SUASANA meriah di perkarangan Stadium Etihad menjelang perlawanan Manchester City dan Manchester United.
Lokman Zainal Abidin


Macam final. Itu kesimpulan yang dapat saya buat selepas melihat sendiri suasana di sekitar Stadium Etihad, beberapa jam sebelum aksi ‘derby’ yang menemukan Manchester City dan Manchester United.

Konsert, jualan cenderamata rasmi kelab, ‘kegilaan penyokong’ serta keriuhan di persekitaran antara stadium paling canggih di England itu benar-benar memberikan pengalaman yang sangat berharga buat saya.

Perlawanan yang berlangsung pada 20 Mac lalu itu hanyalah aksi biasa di Liga Perdana dan ia bukanlah final tetapi semangat serta sokongan yang ditunjukkan peminat kedua-dua pasukan itu sangat luar biasa.

Ia dijadualkan bermula jam 4 petang waktu tempatan tetapi percaya atau tidak, Stadium Etihad mula dibanjiri penyokong sejak jam 12 tengahari lagi dan berdasarkan maklumat yang saya terima, jalan masuk ke Stadium Etihad akan bertukar sesak jika anda memilih untuk melengah-lengahkan perjalanan ke venue berkenaan.

Tambahan pula, perlawanan berkenaan adalah pertembungan setempat yang pastinya mencorak pelbagai insiden membabitkan penyokong masing-masing.

Bagi saya, kesempatan menyaksikan perlawanan antara dua kelab gergasi Inggeris - Manchester City dan Manchester United di depan mata sebagai sesuatu yang tidak mungkin dapat dilupakan.

Bukan setakat itu saja malah perlawanan yang berlangsung di laman City itu saya saksikan daripada tempat duduk antara paling mewah di Stadium Etihad - Legends Suites.

Jika diikutkan logik akal, tidak mungkin saya membeli tiket Legends Suite kerana harganya bukan murah - sekitar 500 pounds (kira-kira RM3,000) untuk satu perlawanan!

Di Legends Suite, anda dibenarkan untuk makan atau minum tanpa had dan justeru, tidak hairanlah mengapa harga tiketnya mahal. Biasanya, tiket menyaksikan perlawanan daripada tempat duduk Legends Suite dibeli bekas pemain, tokoh perniagaan dan individu tertentu saja.

Begitupun, Dashing memberikan kami pengalaman untuk merasai sendiri nikmatnya bergelar ‘orang kaya’ walaupun sementara!

Tujuh pengamal media Malaysia ‘menumpang’ tuah sembilan pemenang peraduan #DASHINGgoesMANCITY untuk menyaksikan perlawanan berprofil tinggi itu malah rombongan kami juga dibawa melawat kemudahan yang ada di stadium dan paling utama, kami semua merasai pengalaman bersalaman dengan hampir semua pemain Manchester City menerusi acara ‘karpet biru’.

Bagi mana-mana peminat City, apa lagi yang anda inginkan selain itu?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2016 @ 5:08 AM