LEMON
LEMON
BUAH tin
BUAH tin
DANDELION
DANDELION
Faizatul Farlin Farush Khan

Kulit berlebihan atau juga dikenali sebagai bintil atau kutil ialah sejenis ketumbuhan kecil pada kulit dan tidak memberi ancaman kepada kesihatan.

Bagaimanapun, dari segi kosmetik, ia membuatkan kulit kelihatan tidak cantik seterusnya menjejaskan keyakinan mereka yang memiliki terlalu banyak bintil kulit ini.

Kebiasaannya kutil berada pada wajah, banyak di bahagian leher atau di kawasan kulit bergesel antara satu sama lain.

Biarpun ia boleh dibuang dengan mengunjungi pakar kecantikan, terdapat alternatif lebih murah, selamat dan boleh dilakukan sendiri di rumah.

Berikut disenaraikan bahan yang boleh dibeli sendiri dan digunakan secara selamat untuk menanggalkan kutil kulit.

Minyak oregano

Minyak ini mengandungi tiga jenis komponen fenolik terpenoid iaitu thymol, arvacrol dan p-cymene yang memiliki sifat antibakteria yang kuat.

Ia juga memiliki sifat antiradang, antioksidan dan antimelanomik yang mampu menanggalkan kutil kulit dengan pantas iaitu dalam tempoh sebulan penggunaannya.

Campurkan enam titis minyak kelapa dan tiga titis minyak oregano. Sapukan campuran itu pada kutil kulit tiga kali sehari.

Ia akan mengeringkan kutil kulit dan kemudian tertanggal dengan sendiri. Pastikan sentiasa cairkan minyak oregano dengan minyak lain kerana jika digunakan solo, ia boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan. Minyak itu juga perlu dielak terkena pada mata.

Minyak tea tree

Minyak ini menyediakan cara yang tidak menyakitkan untuk membuang kutil kulit dari mana-mana bahagian tubuh.

Ia memiliki sifat antikulat dan antikuman yang boleh mengeringkan kutil kulit hingga ia tertanggal sendiri.

Rendamkan bola kapas dalam air dan titiskan sedikit minyak tea tree. Bersihkan kawasan kutil kulit dan keringkan sepenuhnya sebelum menyapu lembut bola kapas tadi ke kutil kulit sebanyak tiga kali sehari.

Jus tangkai dandelion

Jus ini boleh digunakan untuk merawat pelbagai masalah kulit termasuk kutil kulit. Ambil tangkai dandelion dan keluarkan jus dengan cara memicitnya. Cecair bersusu akan keluar dan sapukan ia terus ke bahagian kutil kulit.

Selepas disapu, ambil plaster dan tutup kutil kulit itu. Lakukan sehingga empat kali sehari dan pastikan kulit dibersihkan sebelum menyapu jus itu.

Jus lemon

Jus lemon mempunyai sifat antiseptik yang kuat dan kandungan asid sitrik mampu mengeringkan kutil kulit dan mengeringkan selnya.

Ambil separuh lemon segar dan titiskan jusnya ke atas bola kapas. Sapukan terus pada kutil kulit tiga kali sehari dan teruskan rutin sehingga ia tertanggal.

Cuka epal

Cuka epal mampu merosakkan tisu kutil kulit supaya ia hilang secara kekal. Ambil dua sudu besar cuka epal dan rendam bola kapas ke dalamnya.

Sapukan pada kutil kulit selepas ia dibersihkan. Pastikan bola kapas itu dipicit sambil ia diurut pada kawasan kutil kulit supaya ia dipenuhi cuka itu.

Lakukan tiga kali sehari sehingga kutil kulit gugur. Bagi mereka yang tidak tahan dengan kesan cuka itu, boleh mencairkan cuka dengan air supaya tidak mengalami masalah kulit rengsa.

Jus tangkai buah tin

Jus ini banyak digunakan untuk merawat masalah kulit kerana ia membantu menyeimbangkan keadaan asid dan alkali. Ambil beberapa tangkai buah tin dan kisar sehingga mengeluarkan jus. Sapukan jus terus ke kutil kulit empat kali sehari. Perubahan dan kutil kulit tertanggal biasanya dapat disaksikan selepas empat minggu.

Bawang putih

Bawang putih mempunyai sifat antikulat dan antibakteria yang mampu meningkatkan kesihatan kulit dan mengeringkan kutil kulit.

Empat ulas bawang putih diperlukan dan tumbuk ia menjadi pes dan sapu terus ke atas kutil kulit, tutup kawasan yang sudah disapu dengan plaster dan biarkan supaya kutil dapat dikeringkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2016 @ 10:53 AM