SAMSINAR menunjukkan cara proses pembuangan kutil pada wajah pelanggan.
SAMSINAR menunjukkan cara proses pembuangan kutil pada wajah pelanggan.
WAJAH diurut lembut bagi melancarkan peredaran darah.
WAJAH diurut lembut bagi melancarkan peredaran darah.
KUTIL jika dibiarkan boleh menggelapkan kulit.
KUTIL jika dibiarkan boleh menggelapkan kulit.
BILIK rawatan untuk pembuangan kutil di Ananaz Medi Spa.
BILIK rawatan untuk pembuangan kutil di Ananaz Medi Spa.
SAMSINAR (dua dari kiri) bersama Farah Hafizah (tiga dari kiri) dan ahli terapi.
SAMSINAR (dua dari kiri) bersama Farah Hafizah (tiga dari kiri) dan ahli terapi.
Siti Zarinah Sahib

Ramai tidak menyedari kewujudannya. Jika kelihatan pun, sesetengah wanita beranggapan kutil dan ketuat tidak memberi sebarang kesan sampingan. Dalam sesetengah kes ada juga menyamakan kutil dengan tahi lalat pemanis lantas membiarkan ia tumbuh dan bermaharajalela pada wajah.

Ini disebabkan wanita mempunyai pengetahuan yang cetek mengenai kutil sehinggalah mereka mengunjungi pusat kecantikan. Apabila diterangkan oleh ahli terapi mengenainya, barulah mereka menjadi risau dan panik. Apatah lagi sekiranya ia tumbuh di muka terutama bagi wanita berusia 40-an, yang menjadikan ia satu cabaran dalam bidang kosmetik.

Menurut Pengarah Urusan Ananaz Medi Spa Samsinar Mashood, rawatan pembuangan kutil banyak dikuasai kaum Cina disebabkan teknik pembuangan memerlukan ketelitian serta perkakasan tertentu bagi membolehkan ia hilang terus dari kulit.

Disebabkan pengetahuan wanita yang kurang mengenai kutil, ramai membiarkannya sehingga tanpa sedar ia mengganggu penampilan mereka.

“Ini berlaku apabila kutil yang bervariasi dengan ketumbuhan kecil sama ada bertekstur kasar atau kecil pada tangan atau kaki, boleh merebak menjadi bintik bercecair seperti melepuh. Lebih mendatangkan rasa khuatir apabila kutil dan ketuat ini ditemui pada bahagian tubuh selain wajah seperti dada, ketiak, kemaluan, leher dan juga tengkuk,” katanya.

Kutil ialah pertumbuhan kulit yang disebabkan oleh human pappilomavirus (HPV) iaitu salah satu virus yang menyebabkan keratin iaitu protein keras pada lapisan epidermis (lapisan atas kulit) yang tumbuh terlalu cepat. Ia semakin membesar dan boleh merebak sekiranya minyak berlebihan pada wajah serta masalah bintik hitam dan putih yang lama-kelamaan berubah menjadi kutil.

“Jika dibiarkan ia menjadi semakin gelap dan sukar dibuang. Kutil berbeza dengan tahi lalat atau bekas jerawat kerana kesan ini boleh dilitupi dengan bedak asas. Namun pakailah seberapa tebal bedak asas sekalipun, kutil tetap kelihatan,” katanya.

Rawatan membuang kutil

Ananaz Medi Spa yang dibuka pada 2000 di Cheras, memberi tumpuan kepada rawatan pembuangan kutil dan ketuat yang jarang dipelopori kaum Melayu. Namun begitu, spa yang mempunyai tiga cawangan setakat ini dengan dua beroperasi di Bangi turut menyediakan pelbagai rawatan dari hujung rambut hingga kaki.

Menurut Samsinar, berdasarkan pengalaman menguruskan spa, ramai pelanggan tidak mengetahui yang kutil boleh dibuang. Apa yang dilakukan adalah membuat cucian wajah biasa di salun, namun sering merasa kurang keyakinan diri lantaran kutil mengganggu penampilan terutama apabila bersolek tebal.

“Kutil menyebabkan wajah menjadi kehitaman. Ada pula yang membesar disebabkan bakteria merebak ke bahagian lain,” katanya yang turut melakukan rawatan ke atas pelanggan lelaki.

Jelasnya, lelaki juga tidak terhindar daripada memiliki kutil dan ketuat. Ia berpunca daripada persekitaran, merokok dan membiarkan wajah berminyak tanpa penjagaan yang konsisten.

Rawatan yang disediakan di Ananaz Medi Spa menggunakan laser dan juga cara konvensional iaitu menerusi peralatan tertentu. Kedua-duanya mempunyai perbezaan dan kesan tertentu.

Laser misalnya, walaupun mudah dan cepat, namun proses penyembuhan mengambil masa agak lama. Ia juga hanya menghilangkan kutil pada bahagian atas saja tanpa ke bahagian akarnya. Lama-kelamaan sekiranya tidak dijaga, kutil akan tumbuh semula.

“Keadaan ini berbeza dengan rawatan konvensional kerana proses pembuangan kutil menggunakan alatan khas dan terapi akan membuang kutil sehingga ke bahagian akarnya. Ini menyebabkan ia bertahan lama dan kutil tidak tumbuh semula,” katanya.

Walaupun kutil sudah tiada, Samsinar menasihati wanita supaya tetap melakukan rutin penjagaan wajah di spa sekurang-kurangnya sebulan sekali. Lakukan rutin pembersihan wajah dengan melakukan secara tetap seperti membersih, menyegar dan pelembap. Seminggu sekali wajah dibersihkan dengan masker dan juga penyental bagi menghilangkan bintik hitam.

“Amalan penjagaan wajah yang rapi dan kerap akan menanggalkan kutil secara terus pada kulit. Selain itu, makan makanan berkhasiat, minum banyak air kosong dan melakukan senaman.

Kutil juga berasal daripada faktor genetik iaitu turun daripada satu generasi kepada satu generasi. Namun, ia bukan halangan untuk anda tidak merawatnya,” katanya.

Dia turut berkongsi idea dengan anaknya Farah Hafizah Mohd Nazri yang dilantik sebagai Pengarah Ananaz Medi Spa. Spa ini dibuka setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Untuk maklumat lanjut layari ananaz.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 10:55 AM