Adnan (kiri) bersama Vincent (kanan) meninjau panorama bandar Kuantan pada majlis makan malam di Zenith Hotel.
Adnan (kiri) bersama Vincent (kanan) meninjau panorama bandar Kuantan pada majlis makan malam di Zenith Hotel.

Kuantan: Loji PASDEC Automative Technologies (PAT) milik PASDEC Holdings Bhd yang terletak di Brits, Afrika Selatan, akan dipindahkan ke Lobatse iaitu di bahagian selatan Botswana.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu sudah dimaklumkan dan keputusan untuk memindahkan PAT ke negara berkenaan mendapat reaksi positif daripada kerajaan Botswana.

Beliau berkata, PAT mempunyai rekod pencapaian membanggakan terutama dalam program pembangunan dan sudah pasti ia dapat membantu memberikan nilai tambah kepada ekonomi setempat di Botswana serta meningkatkan taraf hidup penduduknya.

“Selain merancakkan lagi kursus untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan kakitangan, PAT juga komited dalam memberikan latihan kepada penduduk di Botswana secara amnya dan bandar Lobatse secara khususnya,” katanya pada majlis sambutan Menteri Perdagangan dan Industri Botswana, Vincent Seretse dan delegasi, kelmarin.

Adnan berkata, kunjungan delegasi berkenaan bakal membuka peluang kepada kedua-dua negara mencari ruang pelaburan dalam bidang lain.

Katanya, reputasi dimiliki PAT yang menjadi rakan strategik dengan jenama antarabangsa seperti Nissan, Renault dan Volkswagen diharapkan dapat meningkatkan keyakinan Botswana membina jaringan hubungan dua hala yang menguntungkan kedua-dua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:38 AM