Singapura berpendapat Tambak Johor tidak perlu diganti. - Foto Fail
Singapura berpendapat Tambak Johor tidak perlu diganti. - Foto Fail
BERNAMA

Singapura: Tambak Johor yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura mempunyai kapasiti mencukupi dan tidak akan digantikan, Channel NewsAsia melaporkan hari ini.

Laporan itu yang memetik Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan berkata kedua-dua kerajaan sudah menjalankan kajian bersama dan membuat unjuran masing-masing untuk mencapai kesimpulan.

"Tambak itu sebenarnya mempunyai kapasiti mencukupi. Menggantikan tambak bukan penyelesaian," katanya ketika perbahasan Jawatankuasa Bekalan yang memasuki hari kedua.

Sebaliknya, kata menteri itu, kedua-dua negara sedang berusaha menangani kesesakan di sempadan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini mencadangkan supaya Tambak Johor digantikan dengan jambatan baru bagi menangani kesesakan di Johor Bahru.

Tambak Johor sepanjang 1.05 kilometer yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands di Singapura dibina pada 1923. Kira-kira 430,000 pengguna menggunakan pusat pemeriksaan darat di Woodlands dan Tuas setiap hari.

Dr Balakrishnan berkata, kedua-dua kerajaan berusaha menambah baik hubungan kedua-dua negara dan kemajuan dicapai dengan merealisasikan Sistem Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura dan Sistem Transit Rapip Johor Bahru-Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 9:27 PM