KTMB hari ini memulakan kembali perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen Woodlands, Singapura.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
KTMB hari ini memulakan kembali perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, Johor Bahru ke Stesen Woodlands, Singapura. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Pengoperasian semula Tren Shuttle Tebrau dari Stesen JB Sentral, ke Stesen Woodlands, Singapura mulai hari ini, memberi kelegaan kepada rakyat negara ini yang berulang alik mencari rezeki di seberang tambak.

Ia berikutan sebahagian pekerja Malaysia di Singapura yang sebelum ini terpaksa menggunakan khidmat bas kini tidak lagi perlu lagi bersesak di Tambak Johor, sebaliknya boleh memilih perkhidmatan tren yang lebih selesa dan pantas.

Rakyat Malaysia, P Yogheeta, 39, yang berkerja sebagai pengurus bangunan di Singapura gembira apabila Tren Shuttle Tebrau mulakan operasi selepas digantung sementara sejak lebih dua tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan antarabangsa.

Dia yang sudah lima tahun bekerja di Singapura berkata tren terbabit akan memudahkan perjalanannya setiap hari ke tempat kerja tanpa perlu berdepan kesesakan di Tambak Johor.

"Apabila Tren Shuttle Tebrau memulakan perkhidmatannya hari ini, saya cukup lega dan gembira kerana sebelum perkhidmatannya digantung, saya memang menggunakan perkhidmatan tren setiap hari untuk ke Woodlands bagi bekerja.

"Perkhidmatan tren disediakan KTMB ini lebih mesra pengguna dan sistematik berbanding bas kerana perlu beratur lebih lama di samping menempuh kesesakan di Tambak Johor yang membuatkan ramai tertekan," katanya ketika ditemui.

Untuk rekod, terdapat 31 trip atau perjalanan disediakan antara kedua-dua laluan bermula pada 5 pagi dan berakhir jam 11.45 malam, dengan 13 perjalanan dari Johor Bahru-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Johor Bahru.

Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada iaitu RM5 sehala bagi perjalanan dari JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral.

Taranjet Sing, 33 yang bekerja sebagai doktor di Singapura berkata, perkhidmatan tren terbabit akan memudahkan lagi urusan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari.

"Tren Shuttle Tebrau yang memulakan operasinya hari ini, memang dinantikan mereka yang berulang-alik bekerja di Singapura.

"Selepas sempadan negara dibuka pada 1 April lalu, berlaku kesesakan di Tambak Johor setiap hari memandangkan jumlah kenderaan terutama lori semakin bertambah untuk memasuki Singapura," katanya.

Bagi Juruteknik, Zainal Zasuri, 37 pula berkata, beliau memilih tren perkhidmatan Shutle Tebrau kerana perjalanan ke Stesen Woodlans dari JB Sentral hanya mengambil masa sekitar lima minit.

"Memang cepat dan mudah sebab itu saya pilih menaiki tren ini bersama isteri Noraini Ahmad, 36, dan anak perempuan berusia lima tahun pulang ke Singapura hari ini.

"Saya bersama isteri dan anak memang kerap datang ke Johor kerana saya berasal dari Johor manakala isteri pula orang Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 12:37 PM